Felda Dikuatkan Hanya Melalui UMNO, Bukan Parti Lain – Ahmad Shabery

KUALA LUMPUR, 18 Sept – Pengarah Komunikasi Strategik UMNO Malaysia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata pembangkang tidak mempunyai rekod dalam mempertahankan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).

Katanya, malahan mereka seringkali menggunakan elemen lain seperti agama demi kepentingan parti dan peribadi.

Jelas beliau, hudud dan isu royalti yang sering dibawa mereka hanya bersifat momokan kerana ketika menjadi kerajaan ianya tidak juga dilaksanakan.

“Sebab apa tidak buat hudud waktu memerintah. Kenapa tidak selesaikan royalti Kelantan sebab ada ‘kerengga’?

“Kenapa tidak selesaikan pelbagai masalah ketika kamu berkuasa? Orang ini akan datang dengan fatwa baharu, walaun dan kitab baharu. Melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) tidak Islamik tapi orang kata Datuk Seri Shahidan Kassim pun sebab DNAA, itu dia kata Islamik.

“Mesej saya hari ini legal satu hal… tapi niat hendak musnahkan UMNO lebih besar, mereka sudah tanam syak wasangka terhadap UMNO sehingga lima tahun ini kita lihat UMNO semakin merosot. Kita akan beritahu Felda akan dikuatkan hanya melalui UMNO bukan parti lain, Pas tidak ada rekod baik di Terengganu, Kelantan yang mereka kuasai,” katanya.

Beliau berkata demikian ada diskusi Isu-isu Penerangan Semasa yang diadakan baru-baru ini di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (WTC) Kuala Lumpur. Turut menjadi panel adalah Pakar Perundangan Perlembagaan Profesor Datuk Dr Shamrahayu Abdul Aziz.

‘Kerengga’ yang dimaksudkan Ahmad Shabery adalah daripada kenyataan Tan Sri Abdul Hadi Awang yang berkata Perikatan Nasional (PN) ‘tidak sempat membaca’ perjanjian royalti minyak melibatkan negeri Terengganu kerana ‘ada banyak benda nak urus’.

Abdul Hadi malah menyifatkan, ada banyak ‘kerengga’ mengganggu mereka sehingga menyaksikan berlakunya pertukaran Perdana Menteri beberapa kali.

Mengulas lanjut berkenaan Felda, Ahmad Shabery yang juga Pengerusinya berkata peranan UMNO kepada Felda dalam menguruskan dan membantu peneroka dalam sosioekonomi sangat besar.

Malah katanya, perkembangan Felda sejak awal penubuhannya membuktikan bahawa agensi ini begitu dekat dengan UMNO dan akan terus dipertahankan.

“Dalam dunia banyak negara mempunyai sawit seperti Indonesia, Thailand, Colombia, Mexico, tetapi mereka tidak ada Felda. Dalam dunia ada Felda, ada sawit hanya di Malaysia. Kerana di sini ada UMNO dan Barisan Nasional (BN). Kalau hendak bunuh Felda mesti bunuh UMNO.

“Ada waktu tertentu ada seorang Perdana Menteri itu hendak swasta sahaja Felda. Kenapa Felda tidak jadi seperti Sime Darby, United Plantations, KL Kepong. Tidak perlu bantu rakyat, kalau ada pemikiran begitu mesti dapat dilaksanakan dengan bunuh UMNO.

“Dan bunuh UMNO mesti bermula dengan bunuh Presiden UMNO. Ini adalah sebahagian daripada proses yang dimainkan,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.