Dr Akmal Pertahan Cadangan Hadkan Pembelian Beras Tempatan Hanya Untuk Warganegara

KUALA LUMPUR, 18 Sept – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr Muhamad Akmal Saleh mempertahankan kenyataannya sebelum ini untuk menghadkan pembelian beras tempatan hanya kepada rakyat Malaysia ekoran kenaikan harga yang disebabkan kekurangan bekalan di pasaran.

Katanya, ianya bukan bersifat diskriminasi sebaliknya mengutamakan bekalan makanan tersebut untuk rakyat Malaysia.

“Ini bukan soal diskriminasi. Ini soal keutamaan perlu diberikan pada warganegara. Ketika beras tempatan berkurangan,seharusnya keutamaan perlu diberikan pada warga negara sendiri.

“Betul pekerja asing pon bukan kaya raya,tetapi berbanding dengan komitmen mereka dengan rakyat malaysia jauh berbeza.

“Mereka tinggal rumah sewa ramai-ramai, makan pon secara berjemaah, tiada perlu untuk membayar loan kereta, loan rumah, anak sekolah dan lain-lain lagi.

“Jika beras tempatan ini berlambak di pasaran tiada masalah,tetapi hari ni nak beli pon susah malah kita terpaksa berebut dengan mereka pula,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Jasin malah berkata, meskipun had pembelian tersebut tidak memberikan penyelesaian jangka masa panjang namun ianya sedikit sebanyak memberikan impak kepada bekalan makanan pada masa kini.

“Tauke besar hanya memikirkan keuntungan dan yang paling penting barang mereka habis dijual kepada sesiapa sahaja,tetapi pemimpin memikirkan masalah sebenar rakyat di bawah ini.

“Bukan satu penyelesaian yang panjang,tetapi sekurangnya boleh mengurangkan bebanan awal ketika krisis ini berlaku,” ujar beliau.

Dr Akmal menerusi hantarannya sebelum ini memohon Kementerian Pertanian Dan Keterjaminan Makanan melaksanakan polisi pembelian beras tempatan hanya dalam kalangan warganegara Malaysia sahaja.

Menurutnya, jika kementerian tidak boleh membenarkan untuk seluruh Malaysia, sebaliknya laksanakan polisi itu hanya di Melaka sahaja. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.