Anak Muda Perlu Fahami Erti Kemerdekaan, Bangkit Sebagai Insan Berkualiti

KUALA PENYU, 17 Sept – Generasi muda hari ini diseru memahami erti kemerdekaan sebenar bagi mempertingkat diri menjadi insan berkualiti.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Beaufort AK Mohd Yazri AK Mohd Yahya berkata, generasi muda hari ini perlu menerima hakikat keamanan dan kemakmuran negara dimiliki hari ini tidak akan tercapai tanpa pengorbanan pemimpin terdahulu.

Katanya malah kemajuan yang dinikmati oleh generasi muda hari ini sering mengalpakan mereka tentang sejarah perjuangan pemimpin terdahulu dalam membebaskan negara daripada penjajah sehingga negara mencapai kemerdekaan.

“Pengaruh dan ledakan kemajuan teknologi maklumat masa kini menyebabkan sebilangan anak muda lalai.

“Perubahan ini menjadikan anak muda semakin kurang peka kepada keadaan sekeliling di mana pengaruh digital dan media sosial sedikit sebanyak menyebabkan anak muda menjadi individualistik turut memberikan kesan negetif terhadap nilai patriotik terhadap negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menutup kejohanan Liga Friendly Bola Sepak Kuala Penyu sempena sambutan Hari Malaysia di Padang Pekan Kuala Penyu kelmarin.

Dalam kejohanan tersebut pasukan Tanjung Aru FC muncul sebagai juara, pasukan Kitang FC naib juara sementara pasukan Tempur Ft menduduki tempat yang ketiga.

AK Mohd Yazri juga mengingatkan generasi muda untuk memanfaatkan sebaik mungkin kemajuan dunia digital masa kini untuk kebaikan terutamanya dalam menyampaikan info yang berfakta dan memberikan manfaat kepada masyarakat.

Katanya, pengaruh media sosial menjadi ancaman baharu perpaduan masyarakat berbilang kaum di negara ini berikutan tindakan pihak tidak bertanggungjawab menggunakan medium ini untuk menyebarkan cerita tidak benar yang boleh menjejaskan keharmonian.

“Orang muda tidak boleh tunduk dan terpengaruh dengan ideologi yang bertujuan menyemai kebencian dan syak wasangka antara kaum dan budaya di negeri dan negara ini kerana keadaan itu hanya mensia-siakan pengorbanan pejuang untuk kemerdekaan dan kedaulatan negara,” ujar beliau.

AK Mohd Yazri berkata untuk menangani perkara ini golongan muda perlu diberi galakan untuk bersama dalam aktiviti sosial dan kepimpinan.

“Ini mungkin boleh dimulakan di peringkat sekolah dan komuniti setempat. Sehubungan dengan itu saya berharap agar setiap cawangan pemuda UMNO dapat merangka serta melaksanakan pelbagai program yang boleh menark minat anak muda.

“Di mana mereka ini akan memberikan peluang dan tanggungjawab untuk turut serta dalam jawatankuasa kerja.

“Ini sudah tentu dapat membentuk budaya kerja berpasukan di samping boleh menyemai semangat perpaduan yang merupakan elemen penting untuk kita mencapai kemajuan,” katanya.

Menurut beliau Pergerakan Pemuda UMNO bahagian Beaufort sentiasa menyokong sebarang usaha atau program yang dilakukan oleh golongan muda di kawasan ini termasuklah kegiatan sukan kebajikan dan sebagainya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.