Hayati Dan Hargai Sejarah Hari Malaysia, Kukuh Semangat Perpaduan – Zahid

KUALA LUMPUR, 16 Sept – Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengajak rakyat untuk mensyukuri dengan nikmat penyatuan sempena Hari Malaysia.

Jelas beliau, sejak penyatuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak pelbagai pencapaian dirai negara dengan kemajuan ekonomi dan sosial.

“Sejak itu Malaysia terus maju dan terkenal di serata dunia dengan seribu satu ceritera kejayaan membangunkan ekonomi, bangsa dan negara yang berwawasan.

“Penting untuk kita hayati dan hargai sejarah penubuhun negara bangsa. Namun sekarang ini bagi menjaga apa yang telah terbina selama ini teruskan kita kukuh dengan sederap bersama.

“Mengangkat #MalaysiaMADANI: Tekad Perpaduan Penuhi, Selamat Hari Malaysia,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook

Hari ini, seluruh rakyat negara akan meraikan Hari Malaysia dengan sambutan peringkat kebangsaan diadakan di Stadium Perpaduan, Kuching malam ini.

Terdahulu, Ahmad Zahid berkata semangat sambutan Hari Malaysia perlu disemarakkan oleh seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira lokasi atau keberadaan bagi memperingati hari bersejarah itu.

“Biarpun majlis itu akan diadakan di Kuching, Sarawak tetapi kita di Semenanjung ini khususnya di Putrajaya wajib untuk menjayakan perayaan ini dengan semangat yang sama dengan rakyat yang berada di Sabah dan Sarawak,” katanya ketika menutup Kembara Merdeka Desa Madani Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) 2023 semalam. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di linktr.ee/umno #UMNOBangkit