UMNO Ambil Langkah Penambahbaikan, Perkukuh Kerjasama Bersama PH

KUALA LUMPUR, 13 Sept – UMNO akan mengambil beberapa langkah penambahbaikan dan pemerkasaan parti antaranya mengadakan konvensyen di semua bahagian seluruh negara dengan memfokuskan aspek pengukuhan organisasi parti dan lain-lain.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata pada masa yang sama parti juga akan memperkukuhkan lagi kerjasama dengan rakan-rakan parti komponen di dalam Pakatan harapan di semua peringkat termasuk negeri serta bahagian.

“Parti akan mengambil langkah-langkah penambahbaikan dan pemerkasaan parti berpandukan dapatan bedah siasat (post-mortem) keputusan enam Pilihan Raya Negeri-negeri yang telah pun diperincikan dan diperolehi daripada Bahagian-bahagian UMNO seluruh Malaysia termasuk sayap-sayap parti Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri UMNO.

“Mengadakan Konvensyen UMNO Bahagian-bahagian yang akan memfokuskan aspek pengukuhan organisasi parti dan membumikan kefahaman ahli-ahli parti di peringkat akar umbi mengenai ketetapan-ketetapan dasar parti yang menyentuh soal prinsip dan halatuju perjuangan parti dalam Kerajaan Perpaduan Malaysia.

“Memperkukuhkan dan memperkasakan lagi hubungan kerjasama UMNO dengan rakan-rakan parti komponen dalam Pakatan Harapan di semua peringkat termasuk Negeri-negeri dan Bahagian-bahagian seluruh Malaysia bagi memastikan kestabilan politik negara dan kemakmuran rakyat melalui Kerajaan Perpaduan Malaysia sebagaimana ketetapan Majlis Kerja Tertinggi pada 23 November 2022 dan diabsahkan di Perhimpunan Agung UMNO 2023 pada 10 Jun 2023 lalu,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO, di sini, malam tadi.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan MKT menyambut baik cadangan Perdana Menteri untuk mewujudkan kembali Konvensyen Ekonomi Bumiputera dan UMNO menawarkan untuk mengurus-selia penganjurannya sebagaimana yang pernah UMNO laksanakan pada tahun 1965 sehingga tertubuhnya MARA setahun kemudian.

“Kita juga meminta seluruh pimpinan UMNO yang menganggotai Pentadbiran Negara terutamanya Menteri-Menteri dan Timbalan-Timbalan Menteri termasuk juga Pengerusi-Pengerusi Agensi dan Syarikat-syarikat Milik Kerajaan supaya memperteguhkan usaha dengan memfokuskan agenda mensejahterakan rakyat yang sedang bergelut dengan kos sara hidup yang kian meningkat,” ujarnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.