PN Banyak Alasan, Jangan Suarakan Permasalahan Peribadi Di Parlimen – Azhari Shaari

KUALA LUMPUR,14 Sept – Pemimpin yang baik dan kekal dihormati adalah mereka yang sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat dalam apa juga situasi dan bukannya meminta sedekah pada masyarakat.

Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari menegur Ahli Parlimen Ketereh Khlir Mohd Noor yang mendakwa beliau terpaksa menggunakan duit sendiri untuk memberi ‘sedekah’ ketika menziarahi kematian dalam kawasannya.

“Saya ingin memberi teguran kepada Ahli Parlimen Ketereh dari Perikatan Nasional (PN) ini bahawa rakyat telah mengundi anda untuk suarakan segala permasalahan rakyat di Parlimen. Tetapi ini terbalik pula malah beliau yang menyuarakan masalahnya di Parlimen.

“Mengenai hal sedekah untuk orang mati pun nak bangkitkan dalam Parlimen? Kalau tidak mampu untuk sedekah tidak perlulah sedekah. Ini cukup jauh berbeza dari Barisan Nasional (BN), kami akan cuba sedaya upaya untuk membantu rakyat walaupun kawasan itu bukan dimenangi oleh BN.

“Tapi apakan daya… rakyat termakan hasutan dan menganggap hanya Pas sahaja yang memperjuangkan Islam serta mengkafirkan UMNO sampai kiamat walaupun wakil rakyat mereka gagal dalam menyelesaikan masalah rakyat,” katanya.

Dalam masa yang sama Azhari turut memberi solusi dan cadangan kepada Ahli Parlimen Ketereh membuka pusat khidmat di rumah sendiri.

“Saya ingin beri solusi dan cadangan kepada Ahli Parlimen Ketereh berkenaan tiada duit untuk buka pusat khidmat. Apa kata saya cadangkan buka sahaja pusat khidmat di rumah Yang Berhormat (YB) dahulu kalau betul-betul tiada bajet seterusnya ianya lagi dekat dengan rakyat.

“Sekiranya kalau tak mampu untuk bayar gaji perkerja untuk pusat khidmat tersebut. Apa kata cari sukarelawan dan beri elaun sebahagian dari gaji Ahli Parlimen,” katanya lagi.

Merujuk dalam salah satu portal yang menyatakan gaji Ahli Parlimen adalah RM16,000 dan ianya belum termasuk alaun-alaun yang lain.

“Takkan YB tak boleh peruntukkan RM1,500 untuk beri elaun kepada staf di Pusat Khidmat YB? Baki masih ada RM14,500 kan? YB telah sanggup ambil tanggungjawab menjadi wakil rakyat di kawasan ini.

“Saya harap jangan beri banyak alasan untuk tidak berkhidmat dengan baik untuk rakyat. Tambahan pula di Kelantan kerajaan negeri dari PN. Masih ada ruang dan peluang untuk fikirkan cuma kenalah kreatif,” tegasnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.