MKT Rakam Penghargaan Kepada Seluruh Jentera Parti PRK Pulai Dan Simpang Jeram

KUALA LUMPUR, 13 Sept – Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO hari ini merakamkan penghargaan kepada seluruh jentera parti yang terlibat pada  Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Simpang Jeram Sabtu lalu.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata kerja keras seluruh jentera parti yang diketuai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Besar negeri berkenaan,  Datuk Onn Hafiz Bin Ghazi, menjayakan kemenangan calon kerajaan perpaduan.

“Mesyuarat MKT pada malam ini menyatakan penghargaan kepada seluruh jentera parti yang terlibat pada kedua-dua PRK berkenaan bagi memastikan kemenangan rakan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan Malaysia iaitu daripada Pakatan Harapan,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO, di sini, malam tadi.

Pakatan Harapan mengekalkan penguasaan di  Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram pada PRK Sabtu lalu.

Calon PH di Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat yang juga bekas Speaker DUN Johor memperoleh 48,283 undi, berbanding Zulkifli Jaafar daripada Perikatan Nasional (PN) mencatat 29,642 undi dan Samsudin Mohamad Fauzi daripada Bebas pula meraih 528. Suhaizan meraih kemenangan dengan majoriti 18,641. Peratus keluar mengundi pula berjumlah 47.37 peratus.

Di Simpang Jeram pula, Timbalan Ketua AMANAH Kawasan Bakri, Nazri Abdul Rahman yang mewakili PH diumumkan menang dengan majoriti 3,514 undi. Berdasarkan undian rasmi Nazri memperoleh 13,844 undi, diikuti calon PN, Dr Mohd Mazri Yahya (10,330 undi) dan calon Bebas, S Jeghanaathan (311 undi).

Kedua-dua PRK berkembar berkenaan dijalankan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lalu dan PRK tersebut adalah kerjasama  kedua UMNO menerusi Barisan Nasional (BN) bersama Pakatan Harapan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.