Zahid Serah Kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Ambil Langkah Pencerahan Isu DNAA

KUALA LUMPUR, 13 Sept – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JKPK) Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi berhubung langkah yang akan diambil jawatankuasa itu ke arah pencerahan berhubung isu keputusan mahkamah untuk melepas tanpa membebaskan (DNAA) beliau daripada pertuduhan di mahkamah.

Timbalan Perdana Menteri berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan Pengerusi jawatankuasa berkenaan William Leong Jee Keen bahawa jawatankuasa itu akan memanggil Peguam Negara Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh untuk memberikan penjelasan berhubung keputusan DNAA itu.

“Apa yang dicadangkan YB William itu sebagai Pengerusi JKPK itu adalah pengumuman yang dilakukan pada sidang khas membahaskan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12).

“Kita serahkan kepada jawatankuasa itu untuk melakukan langkah-langkah ke arah pencerahan isu berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Halal Sector Forum 2023 di sini, hari ini.

Semalam, Leong ketika Sidang Khas Dewan Rakyat memaklumkan jawatankuasa itu juga akan memanggil bekas Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun untuk memberi penjelasan dan satu laporan akan dibentangkan selepas prosiding itu dilaksanakan.

Sementara itu, mengulas mengenai rancangan Pemuda Perikatan Nasional (PN) untuk mengadakan demonstrasi pada sambutan Hari Malaysia, Sabtu ini Ahmad Zahid berkata: “Kita sebuah negara demokrasi, ada pihak yang ingin menganjurkan dan ada sebaliknya, saya harap tidak ada pertempuran di jalanan.”

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata tiada keperluan untuk mengadakan referendum dalam kalangan ahli parti itu berhubung kerjasama dengan DAP seperti dicadangkan Ahli Majlis Tertinggi UMNO Isham Jalil.

“Tidak perlu referendum, saya hormati pendapat peribadi, tetapi jangan memaksa semua orang menghormati pendapat peribadi,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.