Khidmat Bakti Reezal Merican Berterusan Untuk Rakyat Kepala Batas

KUALA LUMPUR, 13 Sept – Ahli Dewan Undangan Negeri Bertam, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican baru-baru ini berbesar hati menyampaikan bantuan kepada rakyat yang terkesan dengan kerosakan rumah akibat angin kencang.

Katanya, bantuan tersebut tidak hanya di kawasan Bertam sahaja malahan merangkumi Parlimen Kepala Batas.

“14 rumah di DUN Bertam terlibat sementara 2 rumah di DUN Pinang Tunggal dan 1 rumah di DUN Penaga.

“Kesemua 17 orang tuan rumah yang terkesan telah pun menerima sumbangan dari Pusat Khidmat saya.

“Ada sebahagian yang telah pun Pusat Khidmat saya baik pulih. Ada yang terima sumbangan bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat, Pusat Zakat Pulau Pinang dan Tabung Bantuan Bencana TYT Pulau Pinang. Semoga dapat membantu meringankan beban,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau dalam pada itu juga berkesempatan menghadiri majlis penyerahan kunci Rumah Mesra Rakyat Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) yang telah siap dibina di Kampung Permatang Kuang.

Reezal Merican meluahkan kesyukuran kerana program seumpama ini merealisasikan impian rakyat untuk memiliki rumah sendiri.

“Terima kasih kepada SPNB yang telah merealisasikan impian ini melalui Skim Rumah Mesra (RMR).

“Saya bertemu Roslee Razak yang membuat permohonan rumah ini semasa saya menjadi Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

“Alhamdulillah, hari ini impian Roslee sekeluarga untuk memiliki rumah kini menjadi kenyataan,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.