Himpunan Selamatkan Malaysia Tidak Wajar Dibenarkan Diadakan Di Tempat Awam Dan Terbuka – Imran Tamrin

 

KUALA LUMPUR, 13 Sept – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Selangor, Datuk Mohd Imran Tamrin menggesa pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar tidak memberi kebenaran untuk penganjuran ‘Himpunan Selamatkan Malaysia’ yang dirancang akan berlangsung di hadapan sebuah pusat beli belah, di sini, pada Sabtu.

Menerusi satu hantaran di Facebook, beliau berkata himpunan berunsur provokasi seperti ini tidak wajar diadakan lebih-lebih lagi pada 16 September kerana ia adalah hari cuti umum bagi memperingati Penubuhan Malaysia yang berteraskan keharmonian, perpaduan dan keamanan.

“Saya percaya bahawa penganjuran himpunan tersebut tidak menepati kehendak Akta Himpunan Aman 2012 (Pindaan 2019) yang mengkehendaki penganjur memberikan notis lima (5) hari sebelum diadakan suatu himpunan.

“Saya juga percaya bahawa masih tiada lagi kebenaran daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) khususnya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) termasuk empunya premis yang terlibat bagi tujuan mengadakan himpunan tersebut.

“Tujuan penganjuran himpunan tersebut antara lain difahamkan adalah untuk mempertikaikan keputusan Jabatan Peguam Negara untuk memberhentikan serta melepas tanpa membebaskan (DNAA) pertuduhan terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi,” katanya.

Imran yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Sungai Besar menjelaskan perkara seperti ini boleh membuka ruang kepada suatu pertikaian terbuka kuasa Peguam Negara yang telah termaktub dalam Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan.

“Hal ini boleh mengundang kepada provokasi umum yang memungkinkan perbalahan dengan pihak lain termasuk tidak menghormati undang-undang negara.

“Dalam masa yang sama kesamaran entiti sebenar penganjur dikhuatiri tiada jaminan berkenaan kawalan dan kebertanggugjawaban penganjur untuk memastikan himpunan tersebut dapat diurus secara aman dan teratur dalam masa yang singkat.

“Himpunan seperti ini boleh menggugat keamanan yang akan mengganggu urusan orang awam lain di tempat-tempat tumpuan tersebut,” ujarnya lagi.

Terdahulu merujuk kepada laporan kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay menyatakan bahawa pihak PDRM masih lagi belum menerima notis pemakluman rasmi dari penganjur yang diketuai Ahmad Fadhli Shaari yang bertanggungjawab terhadap himpunan tersebut. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.