Sesi ‘Townhall’ Bajet 2024 Melaka Beri Ruang Lontar Cadangan Untuk Kepentingan Rakyat – Rais

AYER KEROH, 12 Sept – Exco Kanan Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Rais Yassin melihat Sesi ‘Townhall’ Bajet 2024 Negeri Melaka membuka ruang yang secukupnya kepada pelbagai pihak dalam merencana pembangunan menerusi Bajet 2024 kerajaan negeri berkenaan.

Berkongsi dengan UMNO-Online, beliau melontarkan pandangan menerusi sesi Townhall tersebut, perlunya diwujudkan satu tabung untuk B40 bagi pembayaran deposit pembelian rumah.

“Saya berpeluang ke Sesi Townhall Bajet 2024 Negeri Melaka yang merupakan julung kalinya diadakan oleh Kerajaan Negeri Melaka.

“Saya berkesempatan memberi pandangan berkenaan mewujudkan satu tabung bagi membantu golongan B40 untuk membeli rumah bagi pembayaran deposit rumah berdasarkan bajet yang diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri Melaka dalam satu tempoh,” katanya.

Katanya lagi langkah berkenaan perlu bagi membantu meningkatkan keupayaan golongan berkenaan memiliki kediaman sendiri sekaligus mewujudkan suasana kehidupan yang selesa.

Rais yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput seterusnya menambah sesi Townhall berkenaan amat baik dan ianya pertama kali diadakan dalam mencari langkah dan perancangan sebainya untuk rakyat negeri berkenaan.

“Sesi Townhall ini melibatkan seluruh barisan Exco Kerajaan Negeri Melaka, Timbalan Exco Kerajaan Negeri Melaka, Ketua-Ketua Jabatan dan Agensi Negeri Melaka bagi mengadakan sesi komunikasi dua hala dalam memberi pandangan berhubung penambahbaikan Bajet 2024 Negeri Melaka.

“Pelbagai perkara dan pelbagai cadangan dilontarkan demi kebaikan rakyat Melaka dan semoga segala yang dibangkitkan di dalam sesi townhall ini dapat memberi input yang positif kepada Kerajaan Negeri Melaka,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.