RMK12 Beri Manfaat Kepada Peneroka FELDA, Pelarasan Pelbagai Insentif Ikut Acuan Ekonomi Madani – Azalina

KUALA LUMPUR, 12 Sept – Sudah semestinya para peneroka seluruh negara termasuklah di Pengerang bakal menikmati pelbagai manfaat seperti yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena pembentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12), semalam.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau yang juga Ahli Parlimen Pengerang itu turut memaklumkan bahawa terdapat pelarasan semula pelbagai inisiatif mengikut acuan ekonomi Madani.

“Banyak yang telah dilaporkan semalam di Parlimen sempena pembentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

“Perdana Menteri juga mengumumkan pelarasan semula inisiatif-inisiatif mengikut acuan Ekonomi Madani.

“Penghargaan daripada seluruh warga Pengerang atas fokus berterusan kerajaan dengan projek pembangunan dalam industri minyak dan gas serta juga naik taraf infrastruktur di bawah RMK12,” katanya.

Mengulas lanjut, Azalina turut beranggapan bahawa segala usaha yang telah dibentangkan semalam dapat menjana pekerjaan baharu, ekonomi setempat dan memudahkan rakyat.

“Ianya bukan sahaja terus menjana pekerjaan dan ekonomi setempat tetapi memudahkan rakyat juga.

“Sudah tentunya, para peneroka seluruh negara termasuklah mereka di Pengerang bakal menikmati manfaat dengan Sumbangan Kesihatan Rahmah RM300, dan penubuhan 12 Pusat Hemodialisis di kawasan Felda,” katanya.

Semalam, media melaporkan bahawa Program FELDA Madani akan membantu para peneroka untuk mempunyai peluang menjana pendapatan yang lebih baik.

Ketika membentangkan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat hari ini, Perdana Menteri berkata usaha itu termasuk pelaksanaan program peningkatan keterjaminan makanan dan langkah drastik bagi membantu peneroka getah beralih kepada tanaman komoditi lain.

Antara manfaat yang diperolehi oleh para peneroka ialah insentif khas Sumbangan Kesihatan Rahmah (SKR) sebanyak RM300 bagi warga peneroka berumur 65 tahun ke atas. Selain itu, 12 pusat hemodialisis akan dibina di semua wilayah FELDA dan sebuah di premis Yayasan Felda di Kelana Jaya.

Insentif SKR yang akan memanfaatkan 70,715 peneroka dan melibatkan peruntukan RM21.21 juta diumumkan Anwar pada sambutan Hari Peneroka FELDA 2023 Peringkat Kebangsaan di Serdang, Selangor 7 Julai lepas. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.