RMK12: Banyak Perkara Boleh Diberi Perhatian Terutamanya Pelaburan Luar Negara – Zambry

KUALA LUMPUR, 12 Sept – Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir beranggapan bahawa banyak perkara yang boleh diberikan perhatian terutamanya yang melibatkan pelaburan dari luar negara.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau berpendapat bahawa Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) adalah meliputi dasar dan kaedah baharu bagi menghadapi tantangan mutakhir ini.

“Perdana Menteri telah membentangkan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (KSP RMK12) di Dewan Rakyat, semalam.

“KSP RMK12 ternyata bukan pendekatan biasa menilai pelaksanaan RMK12 tetapi adalah meliputi dasar dan kaedah baharu untuk menghadapi tantangan semasa mutakhir ini.

“RMK 12 yang telah diluncurkan pada tahun 2021 dan mula dilaksanakan bermatlamat ‘Makmur, Inklusif, Mampan’. Manakala gagasan dalam KSP RMK12 bermatlamatkan ‘Malaysia Madani: Mampan, Sejahtera dan Berpendapatan Tinggi’,” katanya.

Jelasnya, sebanyak 17 anjakan yang dibentangkan Perdana Menteri bertujuan memangkin pembangunan sosioekonomi melalui tiga fokus utama.

“Sebanyak 17 anjakan besar antara intipati KSP RMK12 yang dibentangkan Perdana Menteri, bertujuan memangkin pembangunan sosioekonomi melalui tiga fokus utama iaitu memperkukuh kemampanan, membangunan sejahtera dan mencapai berpendapatan tinggi.

“Bagi pihak Kementerian Luar Negeri, banyak perkara yang boleh diberi perhatian terutamanya yang melibatkan pelaburan dari negara luar. Pastinya hubungan dua hala yang baik antara dua negara terjalin menjadi nilai tambah untuk menarik lebih banyak pelabur luar datang.

“Kementerian Luar Negeri yakin dengan perancangan teliti, penyampaian strategik dan pelaksanaan yang tepat dapat memacu ekonomi negara dan memakmurkan rakyat,” katanya lagi.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin membentangkan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bertemakan ‘Malaysia Madani: Mampan, Sejahtera, Berpendapatan Tinggi’ pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat.

KSP RMK12 dengan 17 anjakan besar sebagai pemangkin utama melalui 71 strategi dan inisiatif utama, merupakan jaminan teguh kerajaan dalam memenuhi tuntutan reformasi yang diharapkan rakyat, sekali gus memaknai semangat Malaysia Madani.

Ia bakal menjadi dokumen dasar bagi memacu dan melonjak pembangunan negara dengan mengangkat darjat serta memperkasa rakyat. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.