Dua Pasukan Khas Ditubuh Percepat Usaha Pengasingan Peranan Peguam Negara, Pendakwa Raya

PUTRAJAYA, 12 Sept – Mesyuarat pertama untuk meneliti agenda pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya hari ini bersetuju menubuhkan dua pasukan petugas khas bagi mempercepat usaha reformasi itu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institut) Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau yang mempengerusikan mesyuarat berkenaan berkata Pasukan Petugas Khas Kajian Komparatif yang dicadangkan akan menjalankan kajian berdasarkan keterangan di beberapa negara seperti England, Australia, Kanada dan Kenya bagi mendapatkan maklumat lanjut yang tidak dapat diakses melalui data terbuka kajian amalan terbaik global.

Menurut Azalina, pasukan itu terdiri daripada beliau sendiri serta wakil Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi, wakil blok pembangkang, Jabatan Peguam Negara (AGC) dan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU).

“Pasukan Petugas Khas Teknikal yang dicadangkan dikendalikan sepenuhnya oleh AGC dan BHEUU untuk meneliti secara komprehensif mengenai implikasi perundangan, perjawatan dan kewangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata Pasukan Petugas Khas Teknikal akan menyediakan Laporan Interim dalam tempoh setahun mengenai Kajian Empirikal Komprehensif Pengasingan Peranan Pendakwa Raya dan Peguam Negara termasuk mengambil kira hasil kajian berdasarkan keterangan dan pembentangan hasil Kajian Empirikal untuk pertimbangan Jemaah Menteri.

Azalina berkata sesi libat urus dan perbincangan bersama pihak berkepentingan seperti Polis Diraja Malaysia, agensi penguatkuasaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia akan diadakan oleh Pasukan Petugas Khas Teknikal dalam masa terdekat.

“Agenda reformasi ini penting bagi memastikan tadbir urus demokratik yang lebih mantap dan meningkatkan pentadbiran undang-undang selaras dengan komitmen Kerajaan Perpaduan dalam memastikan pentadbiran, sistem perundangan dan tata kelola yang baik,” katanya.

Menurut Azalina kerajaan MADANI kekal komited dalam melaksanakan usaha reformasi pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya dalam memastikan tadbir urus demokratik yang lebih mantap dan meningkatkan pentadbiran undang-undang.

Beliau berkata pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya akan melibatkan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang sedia ada serta peraturan-peraturan berkaitan selain membawa implikasi kewangan dan perjawatan yang besar kepada kerajaan.

Azalina berkata mesyuarat hari ini turut membincangkan terma rujukan dan cabaran yang dihadapi dalam melaksanakan usaha reformasi tersebut.

“Hasil perbincangan akan dimaklumkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang akan datang bagi pertimbangan selanjutnya,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.