UMNO Terus Kekal Pertahan Prinsip Perjuangan, Kedudukan Islam/Melayu – Dr Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR, 11 Sept – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengulangi pendirian bahawa parti keramat ini akan terus mempertahan agama Islam dan Melayu seperti mana tujuan asal penubuhannya.

Jelas beliau, di samping membawa perjuangan itu, hakikat kepelbagaian dalam kalangan rakyat di negara ini juga tidak dinafikan.

“UMNO akan terus kekal mempertahankan prinsip perjuangan khususnya berkenaan kedudukan Islam dan Melayu sebagai ‘main custodian’ keindukan Islam-Melayu-Bumiputera dalam realiti kemajmukan Malaysia yang berbilang kaum dan agama.

“Malah sifat UMNO dari dahulu yang memperjuangkan Islam berteraskan kesederhanaan amat bertepatan dengan konsep pentadbiran Kerajaan Perpaduan dan Malaysia Madani yang progresif, inklusif dan ‘centrist’,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau dalam pada itu turut berkongsi berkenaan pertemuannya bersama jentera UMNO Bentong yang terdiri daripada ahli jawatankuasa Bahagian, Wanita, Pemuda, Puteri, Ketua-ketua Cawangan dan jawatankuasa cawangan di Institut Latihan Memperkasa Ummah (ILMU), Janda Baik.

Pertemuan itu sebagai sesi perkongsian menjelang Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai yang akan bermula pada 23 September ini.

“DUN Pelangai merupakan salah satu DUN di bawah Parlimen Bentong. Persiapan jentera pilihan raya ini penting bagi memastikan Barisan Nasional terus mempertahankan DUN Pelangai dalam Pilihan Raya Kecil nanti.

“Sesi dialog juga diadakan bertujuan memberi pencerahan kepada ahli-ahli akar umbi mengenai pelbagai isu rakyat serta menjawab permainan sentimen yang sering dimainkan pembangkang tidak bertanggungjawab,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.