Teruskan Momentum Positif UMNO/BN, Kembalikan Parti Kelandasan Kukuh – Sharifah Azizah

KUALA LUMPUR, 11 Sept – Exco Wanita UMNO Malaysia, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain menyeru ahli-ahli UMNO untuk meneruskan momentum positif dalam UMNO/Barisan Nasional (BN) bagi mengembalikan parti ke landasan yang kukuh dan teguh.

Katanya yang juga Pengerusi Jabatan Pilihan Raya Wanita UMNO Malaysia, kejayaan parti dalam gabungan Kerajaan Perpaduan yang diraih melalui kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram pada Sabtu adalah antara usaha memastikan kesinambungan perjalanan politik UMNO/BN terus relevan.

“Inilah realiti UMNO yang hari ini kita berjaya melaksanakan gerak kerja atas nama kebersamaan dalam Kerajaan Perpaduan, anggota jentera parti kita bekerja memenangkan calon yang mendukung kestabilan dan kemakmuran malah ia juga jadi bukti bahawa keikhlasan kerjasama yang kita sokong.

“Kejayaan ini menjadi bukti bawa UMNO bukan melaksanakan tugas main-main sebaliknya kita bersama mengetepikan perbezaan politik demi sebuah kerajaan yang stabil dan mampu untuk membawa kemakmuran kepada rakyat dan negara,” katanya kepada UMNO Online.

Sambil mengucapkan tahniah kepada Suhaizan Kaiat dan Ir Nazri Abdul Rahman atas kemenangan masing-masing di kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram, Sharifah Azizah menyatakan bahawa setiap mereka memberikan nilai tambah sebagai penguat kerajaan di peringkat negeri dan juga Persekutuan.

“Ini juga menjadi bukti bahawa Kerajaan Perpaduan menjadi pilihan lantaran kestabilan dan kemakmuran yang nyata menjadi tawaran berbanding parti lawan yang hanya bertumpu kepada retorik politik dan politik persepsi sahaja.”

Walaupun begitu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota mengakui bahawa masih banyak ruang dan peluang yang perlu diaplikasi oleh kepimpinan UMNO/BN bagi terus memantapkan parti.

“Melalui gerak kerja dan kerjasama yang telah kita laksanakan maka tentunya kita akan dapat menyelami pelbagai perkara khususnya membabitkan sokongan daripada pengundi dan ahli-ahli kita sendiri.

“Justeru, segala ruang dan peluang yang ada mesti diangkat sebagai jalan untuk kita meningkatkan usaha bagi memastikan keyakinan rakyat kepada UMNO/BN termasuklah menyokong kebersamaan dalam Kerajaan Perpaduan.

“Pentingnya kerajaan kukuh dan sealiran di peringkat negeri dan Persekutuan yang memberi kesan bermakna kepada kesejahteraan kehidupan rakyat keseluruhan,” katanya.

Dalam hal ini, beliau berharap agar rakyat dapat menilai dan melihat bagaimana tindakan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang dikatakan menarik sokongan dari Kerajaan Perpaduan.

“Sekarang Kerajaan Perpaduan bergerak ke hadapan dan bukannya mahu bermain politik, ‘politiking’ dan membuang masa maka kita abaikanlah tindakan ahli Parlimen sedemikian yang lebih suka membuang masa tanpa memikirkan nasib rakyat khususnya pengundi-pengundinya.

“Tindakan menarik sokongan dari Kerajaan Perpaduan sesungguhnya hanya akan memberikan kerugian kepada penduduk di kawasan Parlimennya kerana ia menjadi kawasan pembangkang yang tidak lagi sealiran dengan Kerajaan Negeri dan Persekutuan,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.