Tarik Sokongan Kerajaan Perpaduan, Syed Saddiq Khianat Kepada Pengundi – Lokman Adam

KUALA LUMPUR, 11 Sept – Tindakan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menarik sokongan daripada Kerajaan Perpaduan merupakan satu pengkhianatan kepada para pengundi yang memberikan sokongan atas kerjasama beliau bersama Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

Pengarah Komunikasi UMNO Malaysia, Datuk Lokman Noor Adam berkata, beliau mengalu-alukan hasrat Syed Saddiq dari parti Muda untuk keluar daripada Kerajaan Perpaduan namun ianya sama seperti tindakan ahli parlimen meninggalkan parti.

“Saya mengalu-alukan hasrat Syed Saddiq dan Muda untuk keluar dari Kerajaan Perpaduan sekiranya ianya benar-benar hasrat beliau.

“Namun, pendirian beliau meninggalkan Kerajaan Perpaduan sama seperti tindakan ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan PH yang lompat parti.

“Ini adalah kerana, beliau bertanding di Parlimen Muar pada PRU ke-15 atas kesefahaman beliau dengan PH yang tidak meletakkan calon menentang beliau, malah menyokong dan mengundi beliau,” katanya menerusi hantaran di media sosial, semalam.

Mengulas lanjut, beliau beranggapan bahawa tindakan paling wajar dan bermaruah yang sewajarnya dilakukan oleh Syed Saddiq adalah mengosongkan kerusi serta bertanding semula.

“Oleh yang demikian, perkara yang paling bermaruah yang sewajarnya beliau buat sekarang adalah mengosongkan kerusi Parlimen Muar dan bertanding semula dengan bantuan rakan-rakan Perikatan Nasional (PN) yang lebih mesra dengan beliau sekarang. Itupun kalau beliau masih ada maruah yang tersisa.

“Membawa sekali kerusi Parlimen Muar keluar dari Kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan satu pengkhianatan kepada Pengundi Muar yang menyokong beliau kerana beliau berkerjasama dengan PH ketika itu,” katanya lagi.

Semalam, media melaporkan bahawa Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, secara rasmi menarik diri sebagai penyokong Kerajaan Perpaduan berkuat kuasa serta-merta dan memilih menjadi pembangkang kuasa ketiga dalam Dewan Rakyat.

Syed Saddiq yang juga Presiden Muda itu berkata beliau sudah memaklumkan pendirian diambilnya itu kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Datuk Johari Abdul, melalui surat rasmi memohon pertimbangan berbuat demikian di bawah Peraturan Mesyuarat 2(2) Peraturan-Peraturan Majlis Dewan Rakyat.

Pada PRU ke-15 lalu, beliau kekal mempertahankan kerusi Parlimen Muar apabila meraih undi sebanyak 19,961 menewaskan dua pencabarnya daripada Perikatan Nasional (PN), Abdullah Hussin (18,616 undi) manakala calon Barisan Nasional (BN) Mohd Helmy Abd. Latif, (14,581 undi) dengan majoritinya 1,345. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.