Lapan Fokus Utama Rangka Bajet 2024 Melaka – Ab Rauf

MELAKA, 11 Sept – Lapan fokus akan diberi keutamaan dalam merangka Bajet 2024 negeri Melaka sebagai usaha memastikan rakyat pada semua peringkat masyarakat mendapat manfaat.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata penekanan pada lapan fokus itu juga bertujuan melonjakkan tahap pencapaian ekonomi, menjana pertumbuhan lebih rancak, mewujudkan kesejahteraan sosial serta memastikan semua kelompok masyarakat, khususnya B40, dilindungi.

“Lapan fokus berkenaan antaranya ialah membangunkan Pusat Kecemerlangan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam usaha menyediakan prasarana untuk keperluan tenaga kerja bagi industri yang akan melabur di Melaka.

“Kita juga akan memperkasa sektor pelancongan sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) yang akan dilancarkan pada 31 Dis ini dan fokus ini akan memberikan suntikan ekonomi kepada ekosistem pelancongan negeri pada tahun hadapan,” katanya kepada pemberita selepas Sesi Town Hall Bajet 2024 Negeri Melaka di sini hari ini.

Pada sesi itu yang turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Zaidi Johari, Ab Rauf meluangkan masa lebih satu jam mendengar pelbagai isu berkaitan rakyat, pandangan, idea dan maklumat baharu bagi merangka Bajet 2024.

Beliau berkata bajet itu juga akan memberi fokus membangunkan Melaka sebagai negeri mesra pelabur dengan memudahkan prosedur serta peraturan melabur seperti kelulusan secara berkelompok, agar mereka dapat memulakan gerak kerja pembangunan dan pelaburan dengan segera.

Selain itu, katanya, kualiti perkhidmatan awam akan turut ditingkatkan supaya lebih cekap dan berkesan dengan menyasarkan semua isu atau masalah rakyat diselesaikan dalam tempoh dua minggu.

“Kita juga akan memastikan liputan 4G dan 5G akan dapat diperluaskan di negeri ini dengan segera, termasuk di kawasan pedalaman selain meningkatkan prestasi anak syarikat kerajaan negeri, memperkasa inisiatif di bawah ketua menteri serta memperkasa seni, warisan dan budaya di Melaka,” katanya.

Sesi town hall tersebut disertai hampir 100 orang terdiri daripada pemimpin peringkat negeri, Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen serta badan bukan kerajaan (NGO) pelbagai sektor. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.