RMK12: Kerajaan Perpaduan Bukti Kesungguhan, Tingkat Kesejahteraan Selaras Agenda Malaysia Madani

KUALA LUMPUR, 11 Sept – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi percaya bahawa Kerajaan Perpaduan telah membuktikan kesungguhan dalam usaha untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat selaras dengan agenda Malaysia Madani diperkenalkan.

Beliau yang juga Presiden UMNO itu menerusi hantaran di laman Facebooknya berkata, pembentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) sebentar tadi menggariskan tiga tumpuan utama iaitu Memperkukuh Kemampanan, Membangunkan Masyarakat Sejahtera, dan Menuju Negara Berpendapatan Tinggi.

“Saya hadir dan meneliti pembentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12) yang diucapkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemakan ‘Mampan, Sejahtera dan Berpendapatan Tinggi’ di Dewan Rakyat.

“Dalam pembentangan ini, tiga tumpuan utama rancangan yang disebut ialah – Memperkukuh Kemampanan, Membangunkan Masyarakat Sejahtera, dan Menuju Negara Berpendapatan Tinggi – dengan 17 anjakan dan 71 inisiatif utama berdasarkan prinsip Ekonomi Madani.

“Keyakinan saya, Kerajaan komited membelanjakan sepenuhnya peruntukan RM400 bilion di bawah RMK12, dengan tambahan siling RM15 bilion untuk membiayai bidang keutamaan rakyat di samping memperbaiki mutu pengurusan dan menyasarkan semula subsidi bagi menampung keperluan asas rakyat,” katanya.

Jelasnya, beliau menyambut baik usaha Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar, Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat untuk penduduk luar bandar dan Program Pembangunan Ekonomi Orang Asli.

“Sebagai Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah (KKDW), saya menyambut baik Program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar, Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat untuk penduduk luar bandar dan Program Pembangunan Ekonomi Orang Asli. Malah, Kerajaan sentiasa berusaha merapatkan nisbah jurang pendapatan antara desa dengan bandar, daripada 0.57 pada tahun 2022 kepada 0.67 pada tahun 2025

“Usaha ini diteruskan dengan menyediakan infrastruktur dan perkhidmatan, memanfaatkan potensi ekonomi desa, memperkukuh penyampaian perkhidmatan untuk memastikan kesejahteraan penduduk di desa dan pedalaman akan dipertingkatkan.

“Kesejahteraan masyarakat desa, termasuk peneroka dan pekebun kecil juga akan terus dibela melalui kajian semula dan pengukuhan fungsi serta peranan agensi berkaitan, terutama FELDA, FELCRA, RISDA dan MARA,” katanya lagi.

Mengulas lanjut Ahmad Zahid berkata, beliau melihat bahawa saranan untuk memperkasa TVET adalah satu usaha terbaik untuk menjamin masa hadapan tenaga mahir negara.

“Sebagai Pengerusi Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET) Malaysia juga, saya melihat bahawa saranan untuk memperkasa TVET dengan meningkatkan kerjasama antara Kerajaan bersama syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat swasta dalam transformasi program TVET adalah satu usaha yang terbaik untuk menjamin masa hadapan tenaga mahir negara. Insya-Allah dengan usaha memperkasa TVET ini, ia akan mengubah persepsi masyarakat terhadap laluan kerjaya melalui bidang ini.

“Perihal pengurusan bencana pula turut menekankan usaha Kerajaan memantau tahap keberkesanan sistem amaran awal bencana tsunami, banjir dan tanah runtuh dengan penubuhan Pusat Bencana Geologi Negara pada akhir tahun ini,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau berharap agar segala usaha Kerajaan Perpaduan melalui RMK12 ini akan ditingkatkan keberkesanan pelaksanaannya agar nikmat pembangunan dapat dirasai rakyat.

“Terdapat banyak perkara yang telah diketengahkan oleh Perdana Menteri semasa pembentangan tadi. Saya percaya bahawa Kerajaan Perpaduan sekali lagi telah membuktikan kesungguhan dalam usaha untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat selaras dengan agenda Malaysia Madani yang diperkenalkan.

“Apa yang penting, segala usaha perlu ditingkatkan keberkesanan pelaksanaannya dan memastikan bukan sahaja rakyat mengecapi ‘physical happiness’ tetapi juga ‘spiritual happiness’ agar nikmat pembangunan yang diberikan dapat benar-benar dirasai rakyat,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.