Jangan Terlalu Angkuh Berpolitik… Rakyat Mahukan Pemimpin Permudah Kehidupan Mereka – Dr Akmal

KUALA LUMPUR, 11 Sept – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh mengingatkan ahli politik agar tidak terlalu angkuh dan bermain politik kerana rakyat mahukan pemimpin yang memudahkan urusan kehidupan seharian mereka.

Ini kerana katanya, peratusan keluar mengundi yang rendah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) baru-baru ini sepatutnya memberikan petunjuk kepada mereka bahawa rakyat sudah tidak berminat dengan isu-isu politik yang tidak memberi manfaat.

“Sepatutnya peratusan keluar mengundi yang rendah bagi PRN dan PRK baru-baru ini memberikan keinsafan kepada semua ahli politik bahawa rakyat protes dan tidak berminat dengan isu-isu politik yang tidak memberikan manfaat.

“Rakyat bosan dengan permainan politik yang tidak habis-habis demi kepentingan dan nafsu serakah individu,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan selamat maju jaya kepada Pemuda Perikatan Nasional (PN) yang mahu menganjurkan Himpunan Selamatkan Malaysia pada Sabtu ini.

“Rakyat mahukan pemimpin yang bercakap mengenai bagaimana pemimpin boleh memudahkan urusan kehidupan mereka, bukan menggunakan rakyat untuk mencapai kepentingan diri sendiri.

“Sebagai orang politik, sedarlah diri jangan terlalu angkuh dan sibuk berpolitik. Anda pemimpin, maka tugas utama adalah untuk membantu rakyat… yang nak buat Himpunan Selamatkan Malaysia, saya ucapkan selamat berjaya. Jika itu bermanfaat kepada rakyat, silakan. Jika tidak, rakyat mampu menilai,” katanya lagi.

Semalam, media melaporkan bahawa Pemuda Perikatan Nasional (PN) bersama gabungan badan bukan kerajaan (NGO) bakal mengadakan Himpunan Gerakan Selamatkan Malaysia di hadapan Kompleks Sogo pada Hari Malaysia, Sabtu ini.

Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, kempen dijadual bermula jam 2 petang itu bertujuan untuk membuka mata rakyat berkenaan isu semasa termasuk kes pelepasan pertuduhan 47 kes rasuah dan pengubahan wang haram Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.