Dipimpin Muhyiddin, Mahathir… Perjuangan Hudud Pas Hanya Retorik

KUALA LUMPUR, 11 Sept – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menyifatkan perjuangan Pas hanya bersifat retorik.

Jelas beliau ini termasuk membabitkan hudud yang kononnya dibawa parti itu.

Kata Puad, retorik Pas ini disebabkan parti ini ditunggangi oleh Tan Sri Muhyiddin Yasin dan Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Pas dipimpin oleh Muhyiddin dan Mahathir. Sebab itu perjuangan Pas hanya retorik. Memahami Muhyiddin, dia tidak tolak Hudud tetapi tidak akan melaksanakannya.

“Kalau Pas serius, mereka wajar mengambil alih kepimpinan Perikatan Nasional (PN) daripada Muhyiddin.

“Pas tidak boleh laksana Islam versi Pas jika orang lain yang memimpin. Terutamanya Hudud,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit itu juga menyifatkan gelombang hijau yang dikaitkan dengan Pas tidak akan berkekalan.

“Walaupun Pas terus menunggangi agama, retorik Pas tidak kekal. Gelombang hijau juga tidak akan kekal. Empat tahun macam-macam boleh berlaku,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.