Bung Moktar Fokus Untuk UMNO Sabah, Bakal Turun Ke Akar Umbi Perkukuh Parti

KOTA KINABALU, 11 Sept – “Saya kini lebih memfokuskan UMNO khususnya di Sabah kerana kita mesti menggunakan sepenuhnya masa yang ada untuk memperkukuhkan parti,” demikian kata Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO diminta mengulas tumpuannya selepas beliau dan isterinya dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis lepas berhubung kes rasuah.

Bung Moktar berkata beliau akan merencanakan beberapa program turun ke akar umbi bagi berjumpa dengan pimpinan dan seterusnya menstruktur parti ini.

“Ini bagi memastikan bahawa kita benar-benar bersedia untuk berhadapan pilihan raya khususnya untuk memastikan UMNO kembali memerintah negeri Sabah.

“Ini penting kerana saya lihat negeri Sabah ini terlalu ketinggalan jauh jika dibanding dengan negeri lain, sedangkan Sabah adalah sebuah negeri yang berpotensi dan mampu dibangunkan.

“Adalah mustahil mana-mana kerajaan tidak membangunkan negeri Sabah dan rakyat Sabah sendiri berhak menerima keadaan baik dari segi infrastruktur, prasarana dan ekonomi,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Kesyukuran UMNO Sabah di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Setiausaha UMNO Sabah, Jafry Arifin; Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Salleh Tun Said; Ketua Pemuda UMNO Sabah, Sufian Abdul Karim dan Ketua Wanita UMNO Sabah, Senator Datuk Noraini Idris.

Beliau berkata antara fokusnya kini adalah untuk memastikan UMNO kembali gemilang seperti dahulu dan UMNO dapat gemilangkan negeri Sabah juga.

Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan menyifatkan tiga faktor asas iaitu jalan raya, bekalan air bersih dan elektrik perlu diselesaikan dengan segera oleh mana-mana kerajaan negeri Sabah.

“Oleh itu, pada saya selepas Pilihan Raya Negeri Sabah akan datang, negeri Sabah perlu benar-benar menerima limpahan infrastruktur yang lebih baik.

“Tidak mustahil untuk kita bangunkan negeri Sabah ini sekiranya kerajaan negeri ada komitmen tinggi untuk menyelesaikan isu-isu tertunggak ini,” jelas beliau lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.