PH/BN Johor Berjaya Terjemah Aspirasi Perpaduan

KUALA LUMPUR, 10 Sept – Ketua Penerangan UMNO Datuk Seri Azalina Othman Said mengucapkan terima kasih kepada pengundi di Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram kerana memberikan sokongan di kotak undi bagi dua calon dari parti Kerajaan Perpaduan.

Azalina juga mengucapkan tahniah atas kemenangan kepada calon Pakatan Harapan (PH) yang mendapat sokongan dari Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Pulai iaitu Suhaizan Kayat dan Ir Haji Nazri Abdul Rahman bagi DUN Simpang Jeram.

“PH/BN Johor telah berjaya lalui ujian ketiga ini atas landasan perpaduan kerana apa yang dicanangkan dan dilaksanakan di peringkat Kerajaan Pusat bukan sekadar retorik tetapi kesungguhan untuk mengenepikan perbezaan politik demi sebuah kerajaan yang stabil untuk membawa kemakmuran.

“Keyakinan pengundi terhadap dua wakil rakyat ini perlu diterjemahkan oleh kerajaan dengan melipat gandakan segala usaha untuk menangani apa jua isu komuniti, ekonomi dan kehidupan yang didepani rakyat,” kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang Dan Reformasi Institusi) itu dalam satu kenyataan media.

Selanjutnya, Azalina turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta barisan kepimpinan BN Johor yang diterajui oleh Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.

“…yang tidak lekang berusaha memperjuangkan kestabilan kerajaan melalui kempen berterusan selain menggerakkan jentera BN bagi membantu kedua-dua calon ini.

“Kemenangan ini bererti BN Johor telah berjaya menterjemahkan aspirasi perpaduan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Perpaduan Madani,” kata Ahli Parlimen Pengerang itu lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.