Pertama Kali Ke Kongres Wanita DAP, Pemerkasaan Wanita Jadi Agenda Bersama – Rosni

KLANG, 10 Sept – Buat pertama kali dalam sejarah, Wanita UMNO menjejakkan kaki ke Kongres Wanita DAP, demikian kata Setiausaha Wanita UMNO Malaysia Datuk Rosni Sohar.

Pada Sabtu, Rosni bersama tiga Exco Wanita UMNO Malaysia mewakili Ketua Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad yang juga Pengerusi Wanita Barisan Nasional (BN) ke Kongres Wanita DAP yang berlangsung di Grand Centro Ballroom, Centro Mall, di sini yang dirasmikan oleh Setiausaha Agung mereka, Anthony Loke Siew Fook.

“Kongres tadi menyaksikan kenyataan Ketua Wanita DAP, Chong Eng yang berhasrat untuk tidak mempertahankan jawatannya pada pemilihan pimpinan wanita DAP.

“Namun, yang paling mengesankan ialah apabila Anthony Loke dalam ucapannya menyatakan bahawa DAP berhasrat untuk menjadi parti politik pertama yang berjaya mengarus perdanakan penglibatan wanita dalam politik dan pembuat keputusan, tanpa mengharapkan kuota 30 peratus seperti sekarang.

“Malah, beliau turut membayangkan bahawa suatu hari nanti DAP mungkin tidak lagi memerlukan sayap wanita apabila Wanita DAP sudah berjaya diarus perdanakan dalam kepimpinan parti mereka,” katanya dalam satu catatan di Facebook.

Seterusnya ujar Rosni, Wanita UMNO ambil maklum bahawa DAP sedar akan pentingnya pemerkasaan Wanita di Malaysia.

“Mudah-mudahan, idea yang baik daripada Kongres ini dapat memantapkan lagi perpaduan Wanita untuk berjuang dalam pelbagai sektor di Malaysia.

“Sejarah perjuangan Wanita tidak pernah luntur dari semangat penubuhan UMNO, dan ianya akan terus diperjuangkan demi membela hak-hak dan isu wanita seperti yang telah kami lakukan sejak sekian lama demi perpaduan Malaysia,” katanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.