Kerjasama Kukuh Antara Parti Kerajaan Perpaduan Diterima Rakyat – Noraini

KUALA LUMPUR, 10 Sept – Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram dengan majoriti yang memberangsangkan membuktikan bahawa kerjasama antara parti yang kukuh di dalam Kerajaan Perpaduan diterima oleh rakyat.

Kata Ketua Wanita UMNO Malaysia Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, kemenangan ini juga membuktikan rakyat Johor mahu melihat negeri ini menjadi sebuah negeri maju menjelang 2030 di bawah kepimpinan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.

“Kecemerlangan dan kemajuan ini hanya mampu dicapai dengan adanya sebuah kerajaan negeri yang stabil,” kata Pengerusi Wanita Barisan Nasional (BN) itu dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya lagi, Wanita UMNO Malaysia juga mengucapkan tahniah kepada dua calon Kerajaan Perpaduan dari Pakatan Harapan (PH) iaitu Suhaizan Kayat dan Ir Nazri Abdul Rahman di atas kemenangan di PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram.

Di samping itu katanya, Wanita UMNO Malaysia juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada seluruh jentera parti Kerajaan Perpaduan yang telah bertungkus lumus berkempen untuk memastikan kemenangan ini. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.