Kemenangan Spg Jeram Kukuhkan Lagi Kerajaan Negeri Johor – Fared

BAKRI, 10 Sept – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerah, Mohd Fared Mohd Khalid menzahirkan kesyukuran di atas kemenangan calon Perpaduan Ir Nazri Abdul Rahman pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.

Menurutnya, dengan kemenangan calon dari Pakatan Harapan (PH) ini secara tidak langsung menguatkan lagi Kerajaan Perpaduan negeri Johor ke arah negeri yang lebih maju.

“Alhamdulillah… pada malam ini meraikan kemenangan calon Perpaduan dari parti Amanah iaitu Ir Nazri Abdul Rahman sebagai ‘Yang Berhormat’ bagi DUN Simpang Jeram. Terima kasih dan pastinya kejayaan ini untuk Johor yang lebih maju.

“Ini adalah sejarah kali pertamanya rakyat Johor mengundi calon Perpaduan dan paling menarik adalah akar umbi UMNO turut menyokong dan memberikan sokongan padu pada calon PH. Tidak ketinggalan juga pada semua penyokong parti BN (Barisan Nasional)/PH terutamanya kepada seluruh pengundi yang menyokong Kerajaan Perpaduan ini.

“Ini sangat bermakna semangat perpaduan yang dilahirkan melalui Malaysia Madani diterima baik oleh orang Johor dan dalam masa yang sama juga mengucapkan terima kasih terutamanya jentera UMNO/BN yang bertungkus lumus memenangi calon Perpaduan,” kata Exco Kerajaan Negeri Johor itu kepada UMNO Online di sini.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Bakri Datuk Azman Ismail berterima kasih kepada seluruh keluarga angkat UMNO dan jentera yang sentiasa berkerja keras memastikan kemenangan DUN Simpang Jeram.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua keluarga angkat UMNO, jentera, sayap-sayap UMNO, Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO serta PH yang berkerja keras selama dua minggu ini dengan berkempen dan memberikan kemenangan. Ianya umpama mimpi yang menjadi kenyataan atas kemenangan ini,” ujarnya.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan Nazri memenangi kerusi DUN itu dengan majoriti 3,514 undi.

Timbalan Ketua Amanah Bakri itu memperoleh 13,844 undi bagi menewaskan Dr Mohd Mazri Yahya daripada Perikatan Nasional (PN) yang mendapat 10,330 undi manakala calon Bebas S.Jeganathan, yang juga ahli perniagaan, hanya meraih 311 undi sekali gus hilang wang deposit.- UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.