Kemenangan Di Pulai, Simpang Jeram Bukti Kerajaan Perpaduan Diterima Rakyat – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 10 Sept – Kemenangan calon-calon Kerajaan Perpaduan di kerusi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram membuktikan bahawa Kerajaan Perpaduan diterima oleh rakyat.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, para pengundi di Johor berbeza dengan negeri-negeri lain yang telah melalui Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini.

“Apa yang pernah saya katakan di dalam ucapan dan ceramah-ceramah di Simpang Jeram serta di Pulai, pengundi-pengundi di Johor berbeza dengan para pengundi di negeri-negeri yang telah melalui pilihan raya di enam negeri sebelum ini.

“Ketika itu saya katakan bahawa pengundi-pengundi di Johor ini lebih matang dan boleh menilai parti serta gabungan mana yang lebih baik demi kestabilan politik negara melalui pemilihan ahli Parlimen dan ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri).

“Bukti kejayaan di Simpang Jeram umpamanya, walaupun penganalisis politik menyebutkan bahawa kita berada dalam keadaan 50-50 tetapi kemenangan memperlihatkan majoriti yang lebih tinggi daripada Pilihan Raya Umum (PRU) di DUN itu ketika Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub menjadi ADUN,” katanya menerusi satu sidang media yang diadakan di Menara Dato’ Onn, di sini, sebentar tadi.

Jelasnya, majoriti melebih 18,000 bagi kerusi Parlimen Pulai turut membuktikan bahawa rakyat di kawasan tersebut mahukan wakil rakyat dari Kerajaan Perpaduan.

“Ini telah membuktikan bahawa keabsahan telah dilakukan untuk calon daripada Kerajaan Perpaduan. Di Pulai, majoriti lebih 18,000 membuktikan bahawa para pengundi tetap mahukan calon wakil Kerajaan Perpaduan untuk mewakili mereka.

“Oleh yang demikian, ianya merupakan satu keabsahan oleh para pengundi yang matang di Pulai dan di Simpang Jeram. Ini membuktikan bahawa Kerajaan Perpaduan diterima oleh rakyat dan kita merasakan bahawa apa yang telah disebutkan Perdana Menteri, kestabilan peringkat nasional dengan terus mengekalkan 148 kerusi ini telah diterjemahkan oleh pengundi di Pulai,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid turut beranggapan bahawa kemenangan calon-calon Kerajaan Perpaduan ini merupakan satu isyarat kepada seteru politik untuk berhenti memainkan isu-isu yang bakal menimbulkan fitnah.

“Tentunya ini akan memberi satu syarat kepada pihak seteru politik kita. Cukuplah dari memainkan isu-isu yang menimbulkan fitnah dengan pelbagai muslihat dan ianya diulang-ulang. Kesengsaraan rakyat sebelum ini harus diubat segera dengan mengisi lompong-lompong kekurangan bagi menyantuni permasalahan rakyat.

“Kita mara ke hadapan untuk menterjemahkan pelaksanaannya. Ya, kita akan berada di Pelangai dalam tempoh terdekat ini tetapi pada hemat saya, adalah penting wakil daripada BN harus dipilih semula bagi memberikan kesinambungan perkhidmatan kepada rakyat khususnya para pengundi,” katanya lagi.

Terdahulu, beliau telah dijemput bagi menghadiri Persidangan Dap 2023 di Marriot Hotel, Putrajaya dan seterusnya merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan ke-15 Parti Makkal Sakti Malaysia di Menara Dato’ Onn, Kuala Lumpur.

Semalam media melaporkan bahawa Pakatan Harapan (PH) wakil parti Kerajaan Perpaduan mengekalkan penguasaan di dua kerusi iaitu di Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram.

Calon PH di Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat yang juga bekas Speaker DUN Johor memperoleh 48,283 undi, berbanding Zulkifli Jaafar daripada Perikatan Nasional (PN) mencatat 29,642 undi dan Samsudin Mohamad Fauzi daripada Bebas pula meraih 528.

Di Simpang Jeram pula, Timbalan Ketua Amanah Kawasan Bakri, Ir Nazri Abdul Rahman yang mewakili PH diumumkan menang dengan majoriti 3,514 undi. Berdasarkan undian rasmi Nazri memperoleh 13,844 undi, diikuti calon PN, Dr Mohd Mazri Yahya (10,330 undi) dan calon Bebas, S Jeghanaathan (311 undi).

Kedua-dua PRK berkenaan dijalankan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lalu. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.