PRK: Selesai Mengundi Di Pulai, Nur Jazlan Seru Bersama Tunai Tanggungjawab

PULAI, 9 Sept – Ketua UMNO Bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed selesai mengundi di Sekolah Agama Dato’ Omar Yusof, Kampung Pasir di sini.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulai hadir kira-kira jam 12.29 tengah hari tadi.

Nur Jazlan kemudian terus masuk ke dalam pusat pengundian dan menjalankan tanggungjawabnya sebagai pengundi di saluran tiga.

Dalam pada itu, beliau ketika ditemui juga berharap rakyat di Parlimen ini untuk turun menunaikan tanggungjawab mereka demi agenda pembangunan di kawasan.

“Saya harap berbaki beberapa jam ini rakyat di Pulai akan mengundi kerana ini adalah pilihan raya penting, kerajaan perlu mempertahankan majoriti dua pertiga untuk melaksanakan perubahan yang dijanjikan Perdana Menteri.

“Kalau tidak dua pertiga maknanya banyak perkara yang tidak diselesaikan, saya harap rakyat memandang agenda nasional.

“Saya mohon banyak-banyak tambah lagi undi Cina, kerana jangan pandang pilihan raya ini sebagai kecil yang tidak mengubah nasib mereka,” ujar beliau.

Untuk rekod Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai ini menyaksikan saingan tiga penjuru, melibatkan pertembungan antara calon Pakatan Harapan (PH), Suhaizan Kaiat dengan Perikatan Nasional (PN) dan calon Bebas.

Seramai 165,700 pengundi bakal menunaikan tanggungjawab, manakala pengundi awal melibatkan pegawai dan anggota polis telah selesai melakukan pembuangan undi pada 5 Sept lalu.

PRK itu diadakan susulan kekosongan luar jangka berikutan kematian penyandangnya Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lepas. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.