PRK: Segera Tunai Undi, Pulai Perlu Bersama Kerajaan Perpaduan

PULAI, 9 Sept – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berharap rakyat di Pulai untuk segera menunaikan tanggungjawab mereka pada Pilihan Raya Kecil (PRK) di kawasan ini.

Katanya, peluang ini wajar dimanfaatkan sebaiknya untuk memastikan kawasan Pulai terus berada di bawah Kerajaan Perpaduan.

“Kita berharap yang belum lagi mengundi keluarlah mengundi sekarang, cuaca pun redup tidak hujan.

“Keluarlah orang UMNO dan Melayu, begitu juga pengundi yang lain untuk bersama menentukan Parlimen Pulai berada bersama kerajaan bukan pembangkang, begitu juga Simpang Jeram,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui melakukan kunjungan bertemu jentera parti di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampong Pasir.

Ahmad Maslan yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor dalam pada itu berkata ahli parti dan rakyat sudah diberikan kefahaman sebaiknya berkenaan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.

Jelas beliau, mereka semestinya menilai daripada sudut kematangan terutama membabitkan masa depan buat negara dan generasi akan datang.

“Bagi saya mereka sudah faham dan telah diberikan kefahaman dalam masa 14 hari berkenaan keberadaan Kerajaan Perpaduan maka kita bersama untuk membantu rakan kita,” ujar beliau.

Pusat pengundian di buka bermula 8.00 pagi sehingga 5.00 petang hari ini, sebanyak 47 pusat mengundi melibatkan 294 saluran disediakan di Parlimen Pulai.

Untuk rekod Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai ini menyaksikan saingan tiga penjuru, melibatkan pertembungan antara calon Pakatan Harapan (PH), Suhaizan Kaiat dengan Perikatan Nasional (PN) dan calon Bebas.

Seramai 165,700 pengundi bakal menunaikan tanggungjawab, manakala pengundi awal melibatkan pegawai dan anggota polis telah selesai melakukan pembuangan undi pada 5 Sept lalu. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.