PRK Pulai: Kemenangan Suhaizan Bukti Rakyat Iktiraf Kerjasama PH-BN

JOHOR BAHRU, 9 Sept – Suhaizan Kaiat, yang menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) di Parlimen Pulai, malam ini berkata kemenangan beliau adalah bukti penerimaan rakyat di kawasan itu sekali gus mengiktiraf kerjasama gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor itu berkata kemenangan tersebut juga bermakna beliau perlu memikul satu amanah yang besar dan berjanji akan melaksanakan tugas sebagai wakil rakyat di Pulai dengan sebaiknya.

“Kemenangan Kerajaan Perpaduan di Pulai adalah amanah daripada pengundi dan Allah SWT. Saya ucapkan terima kasih kepada semua pengundi kerana menberi kepercayaan kepada saya untuk menjadi Ahli Parlimen dan terima kasih kepada semua jentera yang membantu pilihan raya daripada awal kempen hingga sekarang.

“Ini juga adalah atas kerjasama erat jentera PH dan BN serta semua pihak yang beri kemenangan di Pulai. Ini adalah satu majoriti yang meyakinkan bagi kerajaan yang dipimpin oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya kepada pemberita selepas pengumuman keputusan PRK Parlimen Pulai di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di sini malam ini.

Pada PRK itu, Suhaizan yang juga Naib Pengerusi Amanah Johor menang dengan majoriti 18,641 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Zulkifli Jaafar dan calon Bebas Samsudin Mohamad Fauzi.

Suhaizan turut menzahirkan kesyukuran atas kemenangan kali pertama beliau dengan majoriti yang meyakinkan sekali gus membuktikan bahawa ‘gelombang hijau’ tidak akan berlaku di Johor.

“Kemenangan ini bukti sokongan kuat kepada kita, gelombang PN di Johor tidak berlaku dan kita telah terangkan kepada pengundi bahawa kepentingan memilih kestabilan kerajaan demi pembangunan ekonomi negara.

“Malah ini juga bukanlah undi simpati yang diberikan oleh pengundi sebaliknya ia adalah sokongan kepada kerajaan,” katanya.

Berhubung peratusan keluar mengundi yang rendah, beliau berkata ia perkara biasa bagi mana-mana PRK selain dipengaruhi faktor cuaca yang tidak mengizinkan dan pengundi yang mungkin kurang berminat untuk keluar mengundi.

Terdahulu, Suhaizan yang diiringi isterinya Dr Norsham Idris dan Naib Presiden Amanah Datuk Mahfuz Omar tiba di pekarangan pusat penjumlahan undi di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim pada 8.50 malam.

Beliau mula bertanding dalam pilihan raya sejak 2004 namun tidak pernah menang di lima kerusi DUN dan satu kerusi Parlimen yang ditandingi.

Antaranya DUN Kempas, Kukup dan Pulai Sebatang serta Parlimen Simpang Renggam.

PRK di kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram dilaksanakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Salahuddin Ayub, yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, pada 23 Julai lepas. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.