Pengundian Bermula, Persaingan Tiga Penjuru Pulai Dan Simpang Jeram Akan Terjawab

JOHOR BAHRU, 9 Sept – Persaingan tiga penjuru antara Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan Bebas di kerusi Parlimen Pulai serta Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) akan terjawab pada hari ini.

Bagi kerusi Parlimen Pulai seramai 165,700 pengundi bakal menunaikan tanggungjawab manakala bagi kerusi DUN Simpang Jeram ialah seramai 40,373 orang menjadikan jumlah keseluruhannya 206,073 orang.

PRK di kedua-dua kerusi itu diadakan susulan kekosongan luar jangka berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lepas.

Seramai 927 pengundi awal melibatkan pegawai dan anggota polis telah selesai menunaikan tanggungjawab masing-masing bagi Parlimen Pulai namun tiada pengundi awal di Simpang Jeram pada Selasa.

Bagi proses pengundian yang bermula pada pukul 8.00 pagi sehingga 5.00 petang hari ini, sebanyak 47 pusat mengundi melibatkan 294 saluran disediakan di Parlimen Pulai, manakala 14 pusat mengundi dengan 68 saluran dibuka bagi DUN Simpang Jeram.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lepas, Salahuddin yang memperoleh 64,900 undi di kerusi Parlimen Pulai menang dengan majoriti undi 33,174, manakala bagi DUN Simpang Jeram beliau mendapat 8,749 undi dengan majoriti undi sebanyak 2,399.

PH mempertaruhkan bekas Speaker DUN Johor Suhaizan Kayat bagi Parlimen Pulai, yang berhadapan calon PN iaitu Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Pulai Zulkifli Jaafar, dan seorang calon Bebas iaitu Yang Dipertua Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL) Samsudin Mohamad Fauzi.

Bagi DUN Simpang Jeram pula, PH meletakkan bekas Jurutera Majlis Perbandaran Muar dan Timbalan Ketua Amanah kawasan Bakri Ir Nazri Abdul Rahman yang akan ditentang calon PN Dr Mohd Mazri Yahya seorang pakar perunding vaskular dan pakar bedah endovaskular serta seorang calon Bebas yang merupakan ahli perniagaan S. Jeganathan.– UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.