Alhamdulillah… Tahniah Bangsa Johor Miliki Jati Diri, Keistimewaan Tersendiri

KUALA LUMPUR, 9 Sept – Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki bersyukur atas kemenangan calon Pakatan Harapan (PH) wakil parti Kerajaan Perpaduan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.

Dr Asyraf yang juga Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan Malaysia mengucapkan tahniah kepada Ahli Parlimen Pulai yang baharu Saudara Suhaizan Kayat dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Jeram Ir. Ts. Nazri Abdul Rahman yang diberikan kepercayaan kepada rakyat untuk memenangi PRK kali ini.

“Alhamdulillah! Terima kasih kepada rakyat Johor khususnya pengundi-pengundi di Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram kerana berjaya membuktikan bahawa bangsa Johor punya jati diri, cara dan keistimewaan tersendiri.

“…mempertahankan prinsip kesederhanaan, progresif dan inklusif berasaskan sifat keindukan Islam dan Melayu dalam realiti kemajmukan masyarakat berbilang kaum dan agama di negara tercinta ini,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Seterusnya, Dr Asyraf turut merakamkan ucapan syabas, terima kasih dan sekalung penghargaan kepada Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.

“Atas kerja keras menggerakkan seluruh jentera BN Bahagian-Bahagian di Negeri Johor yang berkampung di setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM) untuk kedua-dua Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram selama lebih 2 minggu,” katanya.

Tambahnya lagi, apa yang penting selepas ini semua pihak harus membuktikan bahawa Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan dan negeri dengan kerjasama padu dan muafakat jitu seluruh jentera BN dan PH mampu memberikan khidmat bakti terbaik kepada rakyat serta membawa negara dan negeri Johor ke arah kecemerlangan hingga mampu mensejahterakan kehidupan rakyat berbilang agama dan kaum.

Untuk rekod, Ir. Nazri pada PRK DUN Simpang Jeram hari ini memperoleh 13,844 undi, menewaskan Dr Mohd Mazri Yahya daripada Perikatan Nasional (PN) yang memperoleh 10,330 undi, manakala calon Bebas yang juga ahli perniagaan S Jeganathan hanya memperoleh 311 undi, sekali gus hilang wang pertaruhan.

Ir Nazri yang juga bekas Jurutera Majlis Perbandaran Muar menang dengan majoriti 3,514 undi.

Manakala bagi PRK Parlimen Pulai, Suhaizan menang dengan majoriti 18,641 undi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.