Wanita UMNO Rayu Pengundi PRK Pulai, Simpang Jeram Pilih Calon Perpaduan

BATU PAHAT, 8 Sept – Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad merayu kepada semua pengundi di Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram untuk beramai-ramai keluar mengundi calon Perpaduan.

Ini kerana katanya pada saat-saat terakhir mengundi sudah pasti ramai yang mendekati pengundi dalam usaha meraih sokongan serta memberikan pelbagai harapan.

“Saya percaya di hari-hari terakhir pengundian ini ramai yang akan mendekati pengundi dalam usaha meraih undi serta menjanjikan bermacam-macam dan seterusnya memberi harapan bulan bintang dan sebagainya.

“Saya mohon dan minta kepada semua pengundi terutamanya ahli-ahli UMNO dapat tekadkan hati untuk keluar mengundi calon 02 bagi DUN Simpang Jeram dan 03 bagi Parlimen Pulai.

“Kita mahukan satu kerajaan yang stabil demi kemakmuran negara dan dengan mengundi daripada calon Perpaduan, insya-Allah akan dapat melaksanakannya di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Mengulas lanjut kata Ahli Parlimen Parit Sulong itu, sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, Wanita UMNO telah berkerja keras dengan berjumpa pengundi-pengundi termasuk juga akar umbi parti ini.

“Sepanjang kempen PRK ini Wanita UMNO bekerja keras dan berjumpa dengan pengundi-pengundi termasuk pada hari pengundian kita masih lagi berjumpa pengundi terutamanya ahli-ahli UMNO untuk memastikan mereka dapat keluar mengundi.

“Sebenarnya wanita UMNO/BN telah berjumpa dari satu tempat ke tempat yang lain tapi kali ini Wanita UMNO berjumpa pengundi untuk melakukan gerak kerja bagaimana hendak keluar mengundi seperti hendak menggunakan kenderaan mana, siapa yang boleh bantu pengundi untuk keluar mengundi.

“Gerakan-gerakan terakhir ini sedang dilaksanakan bagi kedua-dua tempat iaitu di Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram dimana pengundian itu dicalonkan,” jelas beliau.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK bagi kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram, Johor pada esok. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.