PRK: Sambutan Rakyat Menggalakkan, Tiada Unsur Boikot – Ahmad Maslan

PULAI, 8 Sept – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menafikan dakwaan segelintir pihak yang mengatakan bahawa akan berlaku boikot pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.

Katanya, ini kerana beliau melihat sendiri sambutan yang menggalakkan daripada kalangan rakyat di kedua-dua kawasan tersebut.

“Ada pandangan mengatakan bahawa akan ada boikot, saya tidak nampak ia akan berlaku. Malah menggembirakan pada saya yang turun ke kawasan ini melihat sendiri bahawa ada keyakinan calon perpaduan akan menang.

“Dengan izin Allah saya yakin Pulai kita akan menang, begitu juga Simpang Jeram. Dua-dua tempat ini saya pergi mendekati pengundi, walkabout, ceramah kelompok. Alhamdulillah, sambutan sangat baik,” katanya.

Ahmad berkata demikian ketika ditemui melakukan ziarah kasih di Taman Cempaka, Kempas, pagi tadi. Turut hadir adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Ramlee Bohani.

Sementara itu, Ahmad yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor berkata rakyat semakin matang dalam membuat penilaian dan memahami bahawa menjadi sebahagian daripada kawasan kerajaan Persekutuan bakal membawa keutungan kepada mereka.

“Persoalan mudah sahaja, adakah mahu kawasan kita jadi kawasan pembangkang atau jadi kawasan kerajaan?

“Kita tidak mahu Parlimen ini jatuh ke pihak pembangkang kerana akan rugi rakyat dan kawasan ini nanti,” ujar beliau.

Katanya lagi, gerak kerja terbaik juga telah dilakukan oleh UMNO Bahagian Pulai bagi memberi kemenangan kepada calon Pakatan Harapan (PH) Suhaizan Kaiat bagi meneruskan legasi kecemerlangan penyandang.

“Kita berusaha begitu gigih selama lebih kurang tiga minggu dengan kuatnya terutama UMNO Bahagian Pulai. Jadi saya harap pengundi Melayu bersama dalam kesepakatan dan persahabatan Kerajaan perpaduan ini,” katanya.

Untuk rekod PRK Parlimen Pulai ini menyaksikan saingan tiga penjuru, melibatkan pertembungan antara calon PH dengan Perikatan Nasional dan calon Bebas.

PRK itu diadakan susulan kekosongan luar jangka berikutan kematian penyandangnya Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lepas. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.