PRK Pulai: Nur Jazlan Seru Pengundi Tunaikan Tanggungjawab, Kekalkan Sokongan Dua Pertiga Kerajaan Perpaduan

PULAI, 8 Sept – Ketua UMNO Bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed mengingatkan para pengundi bagi kerusi di kawasan tersebut untuk keluar mengundi bagi mengekalkan sokongan dua pertiga ahli parlimen di Dewan Rakyat.

Jelasnya, proses berkempen untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai berjalan dengan lancar dan beliau menjangkakan satu keputusan yang positif iaitu kemenangan bagi calon Pakatan Harapan (PH), Suhaizan Kayat.

“Nampaknya kerana jentera UMNO/Barisan Nasional (BN), kempen berjalan dengan lancar dan kita fokuskan kepada ahli-ahli UMNO. Calon telah diperkenalkan di kesemua peti-peti undi utama yang mempunyai undi Melayu dan nampak sambutannya baik. Jadi, saya memang menjangkakan satu keputusan yang positif bagi parlimen Pulai iaitu kemenangan calon Pakatan Harapan (PH).

“Apa yang rakyat di sini mahu adalah seorang wakil rakyat yang boleh memberikan perkhidmatan baik, responsif kepada keperluan mereka dan juga selalu berada di kawasan. Penting untuk kekalkan kerusi ini di bawah Kerajaan Perpaduan kerana inilah kawasan bandar.

“Selepas Lembah Klang, apabila politiknya telah berubah secara drastik sekali daripada politik separa bandar, sekarang ini keseluruhan kawasan Wilayah Persekutuan itu telah menjadi kawasan bandar. Di Johor Bahru pun akan menjadi fenomena yang sama. Jadi, tabiat pengundi pun akan berubah,” katanya kepada UMNO Online.

Menurutnya, adalah penting untuk mengekalkan Parlimen Pulai ini di bawah Kerajaan Perpaduan demi menghalang Pas/Perikatan Nasional (PN) daripada mengembangkan pengaruh mereka di Johor.

“Saya menjangkakan kalau Johor Bahru ini jadi macam Kuala Lumpur, maka pentingnya untuk Kerajaan Perpaduan menapak di sini sebagaimana mereka menapak di Selangor 15 tahun dahulu. Kita pun nak halang Pas daripada mengembangkan lagi pengaruh mereka di sini. Setakat ini, insya-Allah di Selatan Johor ini tiada kesan lagi bahawa perkara itu berlaku.

“Saya juga nak ulang di Selangor baru-baru ini saya sendiri terkejut apabila Pas boleh menapak. PN itu sebenarnya Pas. PPBM jangan ceritalah, mereka tiada jentera… tiada apa pun. Apa yang mereka ada pun semasa Tan Sri Muhyiddin Yassin jadi Perdana Menteri dahulu membiayai keperluan Pas dari segi politik, tetapi jentera, pengikut dan sebagainya adalah daripada Pas.

“Di Lembah Klang walaupun PH telah menapak selama 15 tahun tetapi Pas telah meletakkan benih-benih penyokong mereka dari 30 hingga 40 tahun lalu yang ada di negeri Selangor. Sebab itu kita tengok sekarang ini luar daripada kawasan Kuala Lumpur, Pas sudah mula menapak seperti di Kuala Selangor dan Hulu Selangor,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Nur Jazlan turut beranggapan bahawa rakyat akan dapat menerima Kerajaan Perpaduan sepenuhnya cuma ia memerlukan masa lebih lama.

“Sebenarnya penerimaan rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan tidak selancar di tempat lain kerana di Johor ini kita merupakan kubu kuat UMNO. Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lepas UMNO/BN telah menang dengan cemerlang. Jadi, pengaruh UMNO masih kuat di sini.

“Perubahan yang dipinta kepimpinan atas kepada lapisan akar umbi memang agak besar pengorbanannya dan dalam masa sembilan bulan ia belum lagi kukuh. Tetapi saya rasa makin lama mereka akan terima. Cuma ianya agak mengambil masa. Jangan lupa sembilan bulan lepas saya menjadi calon di sini untuk Parlimen. Teruk saya diasak boleh PH dan juga PN.

“Hari ini, PH pula minta tolong kita untuk menang walaupun sebenarnya kalau penyokong bukan Melayu PH orang Cina terutamanya bersungguh-sungguh keluar macam ketika nak kalahkan saya sembilan bulan lepas, memang kerusi Pulai ini tiada masalah kerana Allahyarham Salehuddin menang undi keseluruhannya 90 peratus undi Cina,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut mengajak para pengundi untuk menunaikan tanggungjawab mereka dengan membuang undi pada 9 September nanti.

“Jadi, faktor orang Cina keluar pada 9 September ini amat penting. Saya cuma khuatir satu je kerana orang Cina sekarang ini melihat kerajaan pusat adalah kerajaan PH. Lepas tu di Johor ini pun kerajaannya dipimpin oleh UMNO/BN. BN telah pun bersama dengan PH. Maknanya mungkin akan timbul sikap leka, mereka tidak mahu keluar mengundi.

“Tetapi saya mahu mengingatkan mereka bahawa ini adalah kerajaan yang dipilih, ini calon dimahukan diberi laluan oleh UMNO/BN. Tetapi perlulah keluar, pastikan calon ini menang dan kita kekalkan dua pertiga sokongan ahli parlimen di dewan rakyat,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.