PRK: Ahmad Zahid Seru Pilih Perpaduan, Jangan Dengar Propaganda Pihak Lawan

PULAI, 8 Sept – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Timbalan Perdana Menteri menyeru pengundi di Pulai untuk tidak mendengar propaganda dibangkit pihak lawan.

Pesanan tersebut beliau nyatakan menjelang hari pembuangan undi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram esok.

Katanya, ini kerana calon yang diketengahkan oleh Kerajaan Perpaduan ini mampu membawa aspirasi terbaik bagi rakyat di kawasan.

“Esok hari penting, kita tahu bahawa kerajaan Madani telah meletakkan seorang calon yang mewakili orang Perling, mewakili rakyat di Pulai. Jangan dengar tohmahan, fitnah, propaganda dan racun mereka.

“Orang Johor adalah rakyat dan pengundi matang, esok hari penentuan. Mereka datang dan pergi… saya juga datang dan pergi. Calon dikehendaki Datuk Nur Jazlan Mohamed itulah calon akan mewakili kita sebagai Ahli Parlimen Pulai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pelancaran Program MADANI Cari di Dewan Pusat Perumahan Rakyat Melana Indah 2, Perling.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut berkata kerajaan tidak memilih idelogi politik dalam memberikan bantuan kepada rakyat.

Namun begitu katanya, jalinan kerjasama baik antara kerajaan dan pemimpin yang membawa suara rakyat penting bagi memastikan aspirasi pembangunan kepada rakyat dapat direalisasikan sebaiknya.

“Sekiranya pilih orang lain mewakili tuan puan dia peduli apa sebab dia wakil parti lain kerana akhirnya tuan puan jadi mangsa… sebab itu pilihlah calon tepat yang boleh bantu,” ujar beliau.

Untuk rekod PRK Parlimen Pulai ini menyaksikan saingan tiga penjuru, melibatkan pertembungan antara calon Pakatan Harapan, Suhaizan Kaiat dengan Perikatan Nasional dan calon Bebas.

PRK itu diadakan susulan kekosongan luar jangka berikutan kematian penyandangnya Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lepas. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.