Pilih Parti Yang Beri Khidmat Kepada Rakyat, Bukan Yang Suka Adu Domba Amal Politik Fitnah – Jalaluddin

BAKRI, 8 Sept – Pengundi UMNO di Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram dinasihati agar istiqamah memilih parti yang terbukti menawarkan khidmat bakti kepada rakyat dan bukan mereka yang suka adu domba dan mengamalkan politik fitnah.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, ini berdasarkan pengalamannya sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang baru sahaja selesai apabila pihak pembangkang suka menimbulkan persepsi berbanding membentangkan apa perancangan mereka bagi kemakmuran dan masa hadapan rakyat.

“Saya jelaskan kepada mereka UMNO dan Barisan Nasional (BN) sudah terbiasa dengan politik khidmat. Kita mahu wakil rakyat yang boleh memberi khidmat kepada kita.

“Dan kita jangan sekali-kali lari dari landasan intipati perjuangan iaitu politik khidmat. Bukan politik yang berasaskan adu domba, sentimen, politik fitnah yang dimainkan oleh pihak pembangkang sekarang.

“Saya baru sahaja lalui proses ini di Negeri Sembilan dan tanggungjawab sebagai ahli parti ialah untuk terus istiqamah, bersatu padu, solidariti dan pastikan untuk beri penjelasan kepada pengundi kita terutama anak muda dan juga semua peringkat generasi supaya mereka faham tentang kepentingan untuk memilih wakil rakyat dan juga wakil kepada masyarakat untuk lima tahun akan datang,” kata Ahli Parlimen Jelebu itu kepada UMNO Online di sini baru-baru ini.

Tambah Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan itu lagi, ia menjadi tanggungjawab bersama supaya keputusan yang dibuat kelak untuk kepentingan semua parti yang berada dalam Kerajaan Perpaduan dan tidak membuat pilihan yang salah pada hari pengundian Sabtu ini.

Dalam pada itu, Jalaluddin juga menzahirkan penghargaan kepada semua jentera parti baik dari BN mahupun Pakatan Harapan (PH) yang bertungkus lumus bekerja bagi memastikan kemenangan PH di PRK DUN Simpang Jeram.

Untuk rekod, PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan susulan kekosongan luar jangka berikutan kematian penyandangnya Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lalu.

PH menampilkan bekas Speaker DUN Johor Suhaizan Kayat bagi Parlimen Pulai, manakala DUN Simpang Jeram pula, PH meletakkan Ir Nazri Abdul Rahman bekas jurutera Majlis Perbandaran Muar yang juga Timbalan Ketua Amanah Kawasan Bakri.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 9 Sept bagi kedua-dua kawasan itu. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.