Perangi Fitnah Pada Saat-saat Akhir Berkempen – Ahmad Maslan

BAKRI, 8 Sept – Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, Datuk Seri Ahmad Maslan menasihati seluruh pengundi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram agar memerangi fitnah oleh pihak tertentu dan menyalurkan informasi yang benar serta sahih kepada masyarakat.

Ahmad berharap masyarakat bersama-sama bergerak bagi memerangi sebarang tohmahan, fitnah dan berita yang tidak betul pada saat-saat akhir berkempen.

“Dalam saat akhir ini ada perkara yang tidak dijangka akan berlaku maka harus berhati-hati dengan gerakan-gerakan sulit pembangkang antaranya fitnah-fitnah yang tidak dijangka-jangka.

“Saya ada keyakinan bahawa calon Perpaduan boleh memenangi kedua-dua kawasan dengan majoriti yang baik di Parlimen Pulai dan juga di DUN Simpang Jeram.

“Ini adalah peperangan politik dan pelbagai kaedah pihak pembangkang lakukan. Saya berharap agar semua pengundi terus istiqamah untuk menyokong Kerajaan Perpaduan yang ditubuhkan di atas titah Yang di Pertuan Agong (YDPA) untuk bersama dengan parti Pakatan Harapan (PH) dan sokong atas semangat setiakawan dalam kerajaan yang dibina ini,” katanya ketika ditemui UMNO Online di sini.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan ceramah sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Simpang Jeram di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Haji Abdullah Puteh di sini, malam tadi.

Ahmad yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menjelaskan pengundi-pengundi di kedua-dua kawasan itu semakin memahami maksud Kerajaan Perpaduan.

“Pengundi di sini terutamanya dari akar umbi UMNO memahami apa maksudnya Kerajaan Perpaduan serta lambang dacing yang tiada di atas kertas undi.

“Kefahaman itu akan diteruskan pada pengundi-pengundi yang lain dan berharap agar Simpang Jeram dan Pulai dapat dimenangi oleh Suhaizan Kayat dan Ir Nazri Abdul Rahman,” katanya lagi.

Dalam masa yang sama Ahli Parlimen Pontian itu mengharapkan penyokong Kerajaan Perpaduan dapat pulang ke halaman masing-masing serta mengundi calon Perpaduan.

“Kita berharap agar pengundi luar yang ingin menyokong Kerajaan Perpaduan pulanglah pada hari Jumaat dan Sabtu pagi untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi dan memilih calon Perpaduan.

“Jika memilih Suhaizan Kayat dan Ir Nazri Abdul Rahman maka bermakna memilih untuk menjadi kerajaan, tetapi jika memilih pada dua calon yang lain sama ada di Pulai mahupun di Simpang Jeram maka di tempat ini menjadi pembangkang.

“Apa faedah menjadi pembangkang di tempat kita sedangkan peringkat Pusat telah diputuskan Kerajaan Perpaduan,” tegasnya.

Soalnya lagi, kenapa hendak ikut Perikatan Nasional (PN) sedangkan kerajaan negeri telah diputuskan memerintah dan kenapa pula hendak jadi pembangkang.

“Pilihlah bersama dengan kerajaan dan tidak bersama dengan pembangkang untuk manfaat rakyat lima tahun dari sekarang,” kata Timbalan Menteri Kewangan itu lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.