Jangan Percaya Dakyah Pembangkang PRK Ini Boleh Ubah Kerajaan – Mohamad Hasan

BAKRI, 8 Sept – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata propaganda yang dimainkan oleh pembangkang dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) ini adalah tidak munasabah iaitu boleh menyebabkan Kerajaan Perpaduan tumbang pada pilihan raya.

Ini kerana katanya, dakyah yang dibawa oleh pihak pembangkang sebenarnya hanya mahu mengelirukan dan menakut-nakutkan rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram ini.

“Janganlah ragu-ragu, apa-apa keputusan pilihan raya kecil di DUN Simpang Jeram ini tidak akan mengubah kerajaan kerana sudah ada 40 kerusi DUN. Menang atau kalah pilihan raya ini kerajaan Johor tetap macam ini.

“Tetapi apa maknanya jika dapat memberi satu kerusi ini semula pada kerajaan Johor… kita akan memilih seorang wakil yang bersama dengan kerajaan negeri dan Persekutuan. Jangan kita tidak bersama… tidak boleh.

“Apa untungnya jika memilih orang yang tidak bersama dengan kerajaan? Akhirnya nanti kita akan rugi. Jangan kita buat silap dan pemilihan yang tidak betul, sekurang-kurangnya nanti wakil kita iaitu Nazri Abdul Rahman calon parti Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berkempen isu-isu semasa di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Jalan Haji Abdullah, Simpang Jeram, malam tadi. Turut hadir Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) Datuk Husam Musa.

Mengulas lanjut beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata Johor mengekalkan kedudukannya sebagai destinasi pelaburan utama negara apabila mencatatkan pelaburan paling tinggi.

“Tahun lalu Johor telah menutup buku dengan pelaburan sebanyak RM79.6 bilion yang tertinggi di negara ini. Selalunya Pulau Pinang, Johor, Selangor dan Sarawak tetapi sekarang Johor mendahului sebagai negeri yang banyak menerima pelaburan.

“Johor dapat menghidangkan satu kerajaan yang kuat dan mantap. Ada banyak tempat dan boleh bawa segala-gala kilang datang ke sini terutamanya kilang-kilang yang berindustri tinggi, yang bersangkut-paut dengan digital delta serta menggunakan kuasa tenaga hidro, solar dan sebagainya,” katanya.

Seterusnya kata Ahli Parlimen Rembau lagi sekiranya negara tidak stabil sudah pasti pelabur tidak mahu melabur ke sini.

“Siapa yang hendak datang dan melabur di negara yang tidak stabil? Apabila politik negara ini sudah stabil, insya-Allah semua akan datang ke sini untuk membuat pelaburan di negara ini.

“Kita sekarang ekonomi sudah tercicir disebabkan satu penggal tiga kerajaan bertukar tangan. Bukan sahaja orang luar tidak melabur malah pelabur yang ada selama ini pun lari dari negara kita dan kebanyakkan projek-projek mega yang dibangunkan dahulu diberhentikan,” katanya.

Ujarnya, pelabur yang datang ke sini akan mengambil masa dua atau tiga tahun untuk menyiapkan segala proses.

“Pelabur akan mengambil masa dua atau tiga tahun, sekiranya hari ini setuju dan tiga tahun akan datang kilang yang didirikan sudah siap, bersabar… tapi kemantapan kerajaan yang stabil inilah sebagai resepi formula untuk bangunkan ekonomi semula,” tegasnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.