Bung Bersyukur Keputusan Mahkamah, Kini Fokus Laksana Tugas Demi UMNO Dan Rakyat

KUALA LUMPUR, 8 Sept – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengakui tempoh lima tahun turun naik mahkamah bersama isteri Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad bukanlah satu jangka masa yang singkat bagi menyelesaikan kes mahkamah beliau.

Katanya banyak masa yang digunakan di sini, namun kini beliau mezahirkan rasa syukur, perjuangan akhirnya selesai selepas dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi semalam.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada pasukan peguam dan kepada ahli keluarga, sahabat serta rakan-rakan yang mendoakan selama ini.

“Terima kasih banyak-banyak semoga Allah membalas budi baik semua,” katanya ketika ditemui pemberita di Kompleks Mahkamah di sini, semalam.

Menurut Ahli Parlimen Kinabatangan itu, selepas kes ini selesai beliau mempunyai lebih banyak masa untuk melaksanakan tugas serta tanggungjawab selaku Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah.

“Sekarang masanya untuk saya lebih memberikan perhatian kepada tugas dan tanggungjawab sebagai wakil rakyat dan pemimpin parti, banyak tugas dan tanggungjawab perlu kita laksanakan selepas ini,” tambah Bung yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah.

Sebelum itu Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azhar Abdul Hamid dalam keputusannya berkata mahkamah membuat dapatan itu selepas pemeriksaan dan penelitian terhadap rekod prosiding.

Katanya Mahkamah Tinggi mendapati tiada bukti yang menunjukkan dua saksi pendakwaan memberikan wang rasuah kepada Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Moktar melalui isterinya, Zizie Izette.

Dua saksi pendakwaan berkenaan adalah ejen Public Mutual iaitu Norhaili Ahmad Mokhtar dan Madhi Abdul Hamid.

Azhar berkata, sehubungan itu ia adalah kes yang betul dan wajar bagi mahkamah melaksanakan kuasa semakan mengikut Seksyen 323 Kanun Prosedur Jenayah. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.