AGC Utamakan Prinsip Keadilan, Tidak Boleh Sewenang-Wenang Tolak Representasi Dikemuka Tertuduh – Peguam Negara

KUALA LUMPUR, 8 Sept – Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak boleh secara sewenang-wenangnya menolak representasi dikemukakan mana-mana tertuduh termasuk dalam kes dihadapi Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Peguam Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh berkata, sebaliknya AGC perlu meneliti setiap butiran yang diberikan demi menegakkan proses undang-undang.

Beliau berkata, berdasarkan representasi dikemukakan, ia menjadi tugas seorang Peguam Negara untuk mempertimbangkan setiap alasan dan perincian diberikan tertuduh.

Malah, katanya, AGC atas prinsip keadilan undang-undang juga dikehendaki untuk turut bekerjasama dengan pihak penyiasatan berkenaan dengan setiap butiran yang dikemukakan tertuduh melalui representasi yang diberikan.

“Seterusnya dimaklumkan bahawa respresentasi yang dikemukakan mempunyai terlalu banyak butiran dan setiap representasi mempunyai lebih daripada 200 muka surat, tidak termasuk dokumen sokongan yang dilampirkan,” katanya melalui kenyataan, di sini hari ini.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi melepaskan tanpa membebaskan Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri daripada 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi yang diasaskannya.

Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar, yang memaklumkan bahawa AGC ingin menghentikan semua prosiding terhadap Ahmad Zahid pada peringkat ini.

Susulan itu, Majlis Peguam menyifatkan kenyataan AGC mengenai keputusan melepaskan tanpa membebaskan Ahmad Zahid sebagai tidak mempunyai justifikasi sewajarnya.

Presidennya, Karen Cheah, dilaporkan berkata adalah tidak wajar bagi AGC untuk mengaitkan penarikan balik sepenuhnya kes Ahmad Zahid itu kepada Mahkamah Tinggi dan menggunakannya sebagai alasan dalam kenyataan media daripada memberikan penjelasan terperinci.

Pada masa sama, Ahmad Terrirudin berkata, sudah tentu Peguam Negara dan jabatan ini perlu mengambil masa untuk meneliti setiap butiran dan dokumen disertakan dengan penuh hemah, sebelum apa-apa keputusan boleh dibuat.

Beliau berkata, pihaknya hanya melaksanakan tugas dan kewajipan sebagaimana diperuntukkan mengikut undang-undang sedia ada.

“Oleh itu, jabatan ini berharap semua pihak dapat menghentikan sebarang spekulasi apatah lagi menyebarkannya.

“Ini kerana jabatan ini dengan bantuan pelbagai pihak terutamanya pihak penyiasatan masih sedang menyiasat semua bukti baharu yang timbul berkaitan kes ini.

“Sebarang keputusan sama ada untuk mendakwa semula tertuduh, mendakwa pihak lain yang berkaitan atau sebaliknya akan dibuat oleh jabatan ini setelah siasatan yang lebih terperinci dan komprehensif selesai,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Terrirudin menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa AGC kononnya dengan sendirinya mencemarkan reputasi dan kredibilitinya.

Malah, beliau berkata, AGC tidak pernah menggunakan perkataan menarik balik dalam kes membabitkan Ahmad Zahid.

“Kenyataan itu sendiri merujuk kepada Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan yang jelas memperuntukkan budi bicara penuh kepada Peguam Negara untuk antara lainnya menghentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan.

“Peguam Negara boleh menghentikan pertuduhan di mana-mana peringkat selagi penghakiman belum diberikan oleh mahkamah dan ini termasuk di peringkat selepas prima facie sudah dibuktikan.

“Penting juga dinyatakan bahawa ini bukanlah kali pertama sesuatu pertuduhan dihentikan selepas kes prima facie dibuktikan,” katanya.

Beliau menegaskan, sebarang budi bicara dilaksanakan Peguam Negara tidak dibuat dengan sewenang-wenangnya apatah lagi akibat daripada campur tangan oleh mana-mana pihak, tetapi semata-mata setelah Peguam Negara mengambil kira keadilan kepada semua pihak demi pentadbiran keadilan.

Alasan-alasan pihak pendakwaan adalah:

1. Setelah 15 saksi di peringkat pembelaan, kami berpendapat keterangan 15 saksi perlu diteliti.
2. Dato’ Seri Zahid juga telah mengemukakan surat representasi kepada Jabatan Peguam Negara bertarikh 08 Disember 2022 dan 23 Januari 2023.

3. Lanjutan representasi yang dikemukakan Dato’ Seri Zahid, pihak SPRM telah pada 20 Jan 2023 memaklumkan pada AGC bahawa adalah penting untuk siasatan lebih lanjut, mendalam & menyeluruh dilakukan.

4. Dato’ Seri Zahid telah pada 28 Februari 2023 dan 7 Mac 2023 telah mengemukakan 4 lagi representasi membangkitkan isu-isu dan bukti-bukti baharu yang sudah tentunya memerlukan SPRM untuk menyiasat perkara ini.

5. Surat representasi Dato’ Seri Zahid turut menyentuh sebelum, semasa dan selepas yang dibuat TERBURU-BURU, CUAI, PRA-MATANG dan tidak lengkap.

6. Ini menganggu reputasi Jabatan Peguam Negara, pihak pendakwaan & SPRM (selaku badan tercemar dan dari kaca mata umum seolah-olah telah diperalatkan pihak-pihak tertentu.

7. Untuk tidak menafikan hak Dato’ Seri Zahid dan supaya tiada salah laku (no miscarriage of justice) – PERTUDUHAN TEHADAP DATO’ SERI ZAHID PERLU DIBERHENTIKAN SECARA DNAA SEHINGGA SIASATAN YANG MENYELURUH SELESAI.

8. Mahkamah ambil maklum penubuhan RCI oleh Jemaah Menteri untuk menyiasat tulisan oleh bekas peguam negara, Tommy Thomas dan pendedahan yang dibuat tehadap pertuduhan individu-individu tertentu.

9. Dakwaan dalam representasi Dato’ Seri Zahid bahawa ada pendakwaan terpilih (selective prosecution) daripada rejim Kerajaan sebelum ini. Jadi penting utk Pihak Pendakwa Raya dan SPRM melihat dan turut menyiasat.

10. Selaras dengan tujuan RCI yang bertujuan menyiasat dakwaan-dakwaan berkenaan pelanggaran tanggungjawab profesional oleh pemegang jawatan tertinggi negara ini.

11. Satu memo dalaman dikeluarkan AGC yang tular – langkah utk menentu-sahkan kerana turut menyentuh isu yg dibangkitkan Dato’ Seri Zahid melalui representasi yang dikemukakan beliau dan menguatkan lagi untuk siasatan menyeluruh kes melibatkan Dato’ Seri Zahid ini.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.