ADUN Johor Kata Kerjasama, Sokongan Semua Mampu Hasilkan Kemenangan DUN Simpang Jeram

BAKRI, 8 Sept – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang, Haslinda Salleh berkata semangat setiakawan di antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduan dapat menguatkan lagi jentera parti.

Jelas beliau, kerjasama dan sokongan yang diberikan oleh semua bagi memastikan kemenangan calon bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram seterusnya dapat memperkukuh serta menambah lagi wakil rakyat kerajaan di Johor.

“Saya yakin jentera parti BN/PH tetap terus berkerja kuat bukan sahaja kerana akur tuntutan Kerajaan Perpaduan tetapi kena pastikan calon DUN Simpang Jeram ini menang kerana akan menambah serta menguatkan lagi DUN Johor yang diketuai oleh Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

“Kita percaya bahawa Datuk Onn Hafiz Ghazi banyak perencanaan yang ingin dibuat untuk negeri Johor dan percaya atas kekuatan itu sudah pasti pelaburan luar akan masuk dalam negeri demi kemakmuran rakyat Johor.

“Sebenarnya rakyat di negeri hidup aman dan damai. Sebelum ini tidak diganggu-gugat dengan anasir dari luar oleh pemikiran-pemikiran negatif tentang politik negara terutamanya yang menggunakan alasan-alasan tertentu untuk menidakkan kesepaduan, kesepakatan di antara satu sama lain,” katanya ketika ditemui UMNO Online, di sini.

Haslinda yang juga Exco Wanita UMNO Malaysia percaya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) ini BN/PH tidak akan mengambil kesempatan dengan menggunakan isu-isu yang berkaitan dengan agama serta tidak menoleh ke belakang.

“Kita percaya bahawa BN/PH tidak akan menggunakan isu-isu seperti agama dan kelemahan pentadbiran pimpinan kerajaan terdahulu.

“Tatakelola yang dikendalikan oleh kerajaan negeri cukup baik dan amanah yang dipertanggungjawabkan malah pimpinan kerajaan negeri ini bersungguh-sungguh berusaha demi kemakmuran yang dikecapi selama ini,” katanya.

Justeru, Ketua Wanita UMNO Bahagian Labis itu mengharapkan agar pengundi-pengundi di DUN Simpang Jeram dapat memberikan kemenangan pada calon PH.

“Kemenangan di Simpang Jeram ini adalah kesinambungan pentadbiran kerajaan di peringkat pusat dan percaya keserasian serta keseragaman pentadbiran maka DUN Simpang Jeram dapat diuruskan dengan baik, insya-Allah,” ujarnya lagi.- UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.