UMNO/BN Hormati Status Quo, Bersedia Hadapi Sebarang Cabaran – Ismail


BAKRI, 7 Sept – UMNO dan Barisan Nasional (BN) menghormati status quo bagi pemilihan parti yang bertanding di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram yang sebelum ini diwakili rakan parti dalam Kerajaan Perpaduan iaitu Pakatan Harapan dari Parti Amanah Negara (Amanah).

Ketua UMNO Bahagian Pagoh Datuk Ismail Mohamed berkata, fokus dan cabaran UMNO dalam siri kempen PRK kawasan ini adalah menemui seramai mungkin ahli-ahli parti untuk memberi maklumat mengapa perlu mengundi calon dari parti Kerajaan Perpaduan itu.

“Satu, cabaran untuk meyakinkan ahli-ahli parti. Satu cabaran kerana pertama BN tidak bertanding dan kedua, minta orang UMNO undi PH kerana selama ini undi ‘dacing’ (BN). Ketiga, nak minta mereka keluar (mengundi). Jika mereka setuju untuk mengundi pujuk mereka keluar mengundi.

“Saya merayu kepada pengundi-pengundi di DUN Simpang Jeram… sedar ini satu cabaran, satu perkara yang tidak pernah kita buat, sesuatu yang luar biasa tetapi akan memberi kesan yang amat baik kepada parti kita,” katanya kepada UMNO Online di sini.

Tambahnya lagi, setiap ahli UMNO perlu menunjukkan kebersamaan dan menyokong penuh setiap keputusan yang telah ditetapkan oleh parti demi kebaikan bersama kelak.

“Bila kita berada di dalam Kerajaan Perpaduan, kita kena tunjukkan kepada keseluruhan ahli UMNO kita akur kepada kehendak parti dan ini adalah untuk kebaikan bersama.

“Bila kita berada di dalam Kerajaan Perpaduan ini ada ketika pengorbanan seperti ini kita kena tunjukkan walaupun parti kita tidak bertanding, tapi dengan sokongan ini memberi semangat kepada ahli UMNO di bahagian lain yang mana kita harap dengan kemenangan di DUN Simpang Jeram ini akan menaikkan lagi semangat ahli-ahli kita untuk terus berjuang dalam Kerajaan Perpaduan ini,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail juga berpesan kepada pengundi yang akan mengundi pada Sabtu ini menolak parti yang suka menimbulkan kebencian dan yang menggunakan agama untuk memporak-perandakan masyarakat.

“Kita di Johor ini penuh yakin pengundi-pengundi dari segi pendidikan agama daripada sekolah rendah hingga ke sekolah menengah diajar. Jadi kita tahu tentang apa itu soal parti dan juga agama.

“Bukanlah kata orang kita menyokong parti kita ini sebagai tidak menyokong Islam. Ini bukan soal agama tetapi soal parti. Saya penuh yakin pengundi di DUN Simpang Jeram ini boleh membezakan kerana kita sudah ada pendirian, kekuatan soal agama dalam kita berjuang ini.

“Jadi, tolaklah parti yang menggunakan agama untuk memporak-perandakan masyarakat kita,” ujarnya yang berkata UMNO Bahagian Pagoh ditugaskan untuk membantu jentera di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Simpang Jeram dan Jeram Tengah.

Untuk rekod, PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan susulan kekosongan luar jangka berikutan kematian penyandangnya Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lalu.

PH menampilkan bekas Speaker DUN Johor Suhaizan Kaiat bagi Parlimen Pulai, yang berhadapan calon Perikatan Nasional (PN) iaitu Timbalan Ketua PPBM Bahagian Pulai Zulkifli Jaafar, dan seorang calon Bebas iaitu Yang Dipertua Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL) Samsudin Mohamad Fauzi.

Bagi DUN Simpang Jeram pula, PH meletakkan Ir Nazri Abdul Rahman yang juga Timbalan Ketua Amanah Kawasan Bakri yang akan ditentang calon PN Dr Mohd Mazri Yahya seorang pakar perubatan serta seorang calon Bebas yang merupakan ahli perniagaan S. Jeganathan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.