PRK Pulai: Undi Anda Penentu Kemajuan Atau Kemunduran, Teruskan Tekad Bersama Kerajaan Perpaduan

PULAI, 7 Sept – Setiap undi yang dizahirkan oleh rakyat sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Parlimen Pulai bakal menentukan sama ada sesebuah kawasan tersebut akan terus maju ataupun mundur dari arus pembangunan.

Berdasarkan tinjauan UMNO Online, rata-rata rakyat di kawasan Pulai ini bersetuju bahawa ekonomi negara di bawah pemerintahan Kerajaan Perpaduan ini semakin pulih dan segala kesusahan dihadapi sebelum ini dapat dibina semula secara perlahan-lahan.

Salah seorang usahawan di Pulai, Mohd Nazaruddin Bokhari, 55, berkata, beliau dapat melihat bahawa keadaan ekonomi negara semakin memulih di bawah pemerintahan Kerajaan Perpaduan.

“Saya nampak Kerajaan Perpaduan dalam tempoh masa beberapa bulan ini, negara kita dah semakin stabil dan baik. Ekonomi juga dah semakin pulih. Begitu juga dengan harga barang.

“Memanglah orang cakap masih mahal tetapi kalau kita nak bezakan dengan lima tahun lalu, Kerajaan Perpaduan dah berjaya. Banyak perkara dah jadi semakin baik. Kalau kita tukar lagi, kita takut semakin jadi tidak terkawal,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau turut mengajak para pengundi di Parlimen Pulai untuk bersama-sama keluar membuang undi bagi menunaikan tanggungjawab mereka sekaligus mengukuhkan lagi kedudukan Kerajaan Perpaduan di persekutuan.

“Apa yang paling penting, kita perlu bersatu hati untuk menjadikan Malaysia sebuah negara hebat kerana kita pernah berada di situ sebelum ini. Jadi, kalau kita berpecah kita tidak akan hebat lagi.

“Kepada pengundi, buat keputusan bijak sebab kita dah susah banyak tahun kebelakang ini terutamanya ketika zaman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kita duduk dalam rumah, kenal kawan, buat pengeluaran KWSP dan sebagainya. Sekarang keadaan dah mula baik.

“Adakah kita mahu balik susah semula atau maju ke hadapan? Kalau kita mahu terus hidup mundur itu pilihan yang kita buat. Jadi, undi kita ini bakal menentukannya. Buat pilihan yang bijak kerana kerajaan Malaysia pada hari ini telah berada dalam keadaan stabil dan terbaik. Keluarlah mengundi untuk kebaikan kita bersama,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Noor Hanisah Abd Halim, 35, turut mengakui bahawa adalah penting untuk mengekalkan kerusi Parlimen Pulai di bawah Kerajaan Perpaduan bagi memudahkan segala urusan pentadbiran dan selari dengan kerajaan persekutuan.

“Selama ini saya percaya bahawa kita sedar dengan keadaan dan situasi semasa, keperluan kita untuk bersama dengan Kerajaan Perpaduan sekarang ini bagi kestabilan masyarakat Johor sendiri.

“Begitu juga seperti di Parlimen Pulai bersama dengan Kerajaan Perpaduan, perkara tersebut akan memudahkan segala struktur pentadbiran.

“Para pengundi khususnya di Parlimen Pulai pada 9 September nanti, marilah kita keluar mengundi bersama-sama sokong calon dari Pakatan Harapan, Suhaizan Kayat bagi memastikan perjalanan pentadbiran negeri Johor lancar,” katanya kepada UMNO Online.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram pada 9 September dengan 26 Ogos sebagai hari penamaan calon.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh, berkata hari pengundian awal pula ditetapkan pada 5 September dengan tempoh berkempen selama 14 hari.

Semalam, media melaporkan seramai 831 pegawai dan anggota polis menunaikan tanggungjawab mengundi awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai sekali gus merekodkan peratusan keluar mengundi sebanyak 89.64 peratus. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.