PRK: Bahagian Angkat Santuni Pengundi Sebaik Mungkin, Beri Maklumat Berasaskan Fakta

BAKRI, 7 Sept – Selaku bahagian angkat di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Sungai Abong dan Sungai Abong, UMNO Bahagian Sekijang aktif membantu jentera tempatan bertemu seramai mungkin pengundi.

Kata Ketua UMNO Bahagian Sekijang Datuk Baharum Mohamed, UMNO berperanan menyantuni pengundi parti dengan menerangkan segala fakta berkaitan sokongan kepada Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.

“…banyak persoalan yang tidak terjawab, maka kami turun untuk membantu dan menjawab persoalan-persoalan tersebut supaya mereka lebih faham kenapa kita bersama dengan PH pada hari ini.

“Dengan penjelasan yang diberikan itu, akar umbi nampak lebih memahami kerana mereka (sebelum ini) terkeliru, kadang-kadang membaca daripada internet dan saluran daripadanya mereka keliru jadi bila diterangkan mereka faham,” katanya kepada UMNO Online di sini, ketika ditemui baru-baru ini.

Untuk rekod, PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan susulan kekosongan luar jangka berikutan kematian penyandangnya Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lalu.

PH menampilkan bekas Speaker DUN Johor Suhaizan Kayat bagi Parlimen Pulai manakala bagi DUN Simpang Jeram pula, Ir Nazri Abdul Rahman bekas jurutera di Majlis Perbandaran Muar.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi kedua-dua kawasan itu pada 9 Sept ini.

Seterusnya, jelas Baharum lagi, kerjasama serta gerak kerja antara UMNO/BN dan PH sepanjang kempen berjalan lancar dan masing-masing memberikan komitmen yang terbaik.

“Amanah dan PH ini yang hendak bekerja dengan kita, maksudnya kita mesti menolong mereka dan kalau dia menang maksudnya kemenangan juga kepada kita.

“Sebab itu perkara yang remeh-temeh berlaku… kita tolak ke tepi, yang penting Johor mesti beri menang kepada calon kita daripada Pakatan Harapan sama ada Simpang Jeram ataupun Pulai,” katanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.