Kukuhkan Kedudukan Kerajaan Perpaduan, Beri Peluang Rencana Program Manfaat Rakyat – Noor Azleen

PULAI, 7 Sept – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros mengajak para pengundi di Parlimen Pulai untuk mengukuhkan Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri dan pusat agar pelbagai program memanfaatkan rakyat dapat direncanakan dengan mudah.

Jelasnya, titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada minggu lalu agar Kerajaan Perpaduan diberikan lebih masa untuk menstabilkan negara merupakan satu pandangan yang wajar dan bersifat adil.

“Saya rasa itu memang satu pandangan yang wajar dan bersifat adil kerana sebagai sebuah kerajaan yang baru terbentuk selama sembilan bulan memang wajar Kerajaan Perpaduan ini diberi sedikit masa untuk buktikan sesuatu.

“Kita tidak boleh ukur dalam satu tempoh masa yang begitu singkat sejauh mana keberkesanan dan juga kemampuan sesebuah kerajaan itu untuk membuktikan keberkesanan mereka.

“Sudah tentulah ia memerlukan satu tempoh yang sesuai sekurang-kurangnya bagi membuktikan bahawa memang kerajaan ini sentiasa memikirkan apa perkara terbaik untuk mendepani cabaran semasa… pada masa yang sama untuk kita mempersiapkan negara berdepan cabaran masa akan datang,” katanya kepada UMNO Online.

Mengulas lanjut Noor Azleen berkara, cabaran yang dihadapi oleh kerajaan pada ketika ini bukanlah sesuatu perkara yang mudah lebih-lebih lagi selepas mengharungi musim pandemik COVID-19.

“Pada saya ianya satu pandangan yang adil dan wajar memikirkan cabaran dihadapi kerajaan hari ini bukannya mudah.

“Kita baru sahaja keluar daripada kemunduran akibat COVID-19 dan saya yakin ulasan baginda adalah berdasarkan perancangan jitu yang ada pada Kerajaan Perpaduan ini untuk bawa negara ke landasan tepat seterusnya memacu pembangunan lebih menyerlah pada masa akan datang,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut merayu para pengundi di Parlimen Pulai untuk memberikan sokongan kepada calon Kerajaan Perpaduan.

“Saya ambil kesempatan ini untuk merayu dan mengharapkan sokongan daripada pengundi kedua-dua buah kawasan ini (Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram) bagi mengukuhkan kedudukan kerajaan yang ada supaya lebih banyak agenda berkenaan kesejahteraan rakyat mampu digalas dan dilaksanakan.

“Kita mengharapkan agar mereka membuat pilihan berdasarkan pemikiran dan hati yang terbuka. Saya yakin nilai-nilai tersebut ada pada kita sebagai ‘Bangsa Johor’… sentiasa membuat pertimbangan berasaskan faktor betul dan meletakkan masa depan kita sebagai sebuah negeri serta bangsa sebagai keutamaan.

“Oleh itu, pilihlah wakil daripada Kerajaan Perpaduan iaitu di Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat dan di DUN Simpang Jeram, Ir Nazri bagi membolehkan kerajaan negeri serta persekutuan dapat merencana pelbagai lagi program yang mampu memberi manfaat kepada rakyat di pelbagai lapisan masyarakat,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.