Iktibar Presiden Lepas Pertuduhan, Bersatulah Kembalikan Kegemilangan UMNO – Haryaty

KUALA LUMPUR, 7 Sept – Exco Wanita UMNO, Datuk Haryaty Hamdzah berharap kes mahkamah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang dilepas dari 47 pertuduhan Isnin lalu dapat mengembalikan semangat anggota parti untuk terus bersatu atas tekad mengembalikan kegemilangan parti.

Ini kerana katanya, telah cukup lama UMNO bergelumang dengan isu mahkamah dan perundangan khususnya selepas Barisan Nasional (BN) tidak menjadi kerajaan pada 2018.

“Kes Presiden UMNO, parti saya. Alhamdulillah, dengan penuh rasa kesyukuran kehadrat illahi, atas keputusan Hakim berkenaan 47 kes Presiden UMNO yang dilepaskan tanpa dibebaskan.

“Sebagai ahli parti, saya dan rakan-rakan yang lain telah lama memikul tohmahan dan melayan isu-isu yang berat seperti isu 1MDB dan isu rasuah/pecah amanah Yayasan Akalbudi sejak UMNO kalah tahun 2018 lagi.

“Presiden parti berdepan baki 47 pertuduhan iaitu 12 bagi pecah amanah, lapan berhubung rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi,” katanya dalam kenyataan berkaitan hal terbabit.

Jelas Haryaty, pendakwaan dan tuduhan ini adalah kes berat yang bukan hanya dirasai oleh Presiden UMNO tetapi ahli-ahlinya juga.

“Ini kes berat… sebenarnya, bukan pemimpin sahaja merasai, ahli-ahli juga terpalit. Macam-macam orang boleh bagi pendapat. Hanya yang lalui, akan merasai.

“Akibat kes-kes ini, ada ‘hardcore’ parti tersingkir dari parti ini, ada yang lari tanpa mahu terpalit, ada tawar hati, dan macam-macam lagi. Sedih sebenarnya. Ia melemahkan parti kita.

“Apapun pada saya, strategi pasukan guaman Presiden telah berjaya. Keputusan Discharge not amounting to an acquittal (DNAA) – adalah ruang yang boleh digunakan sebaik mungkin oleh kedua belah pihak, samada pendakwa/defendan.”

Ini kerana katanya, biarpun keputusan hakim itu dilepaskan daripada pertuduhan yang sedang dihadapi Presiden, bagaimanapun, Presiden pada bila-bila masa boleh dihadapkan di mahkamah atas pertuduhan yang sama.

“Saya mendoakan semoga Presiden dibebaskan sepenuhnya juga nanti.

“Saya cuma harap, selepas ini bersatulah kita semua untuk kembalikan kegemilangan UMNO. Panggil semula mereka yang berada di luar parti itu untuk kembali.

“Perkukuhkan parti, buang rasa angkuh diri, baiki kelemahan kita kerana cukup lama dah kita bergelumang dengan isu ini, letih dah. Moga UMNO terus mara dan berjaya,” katanya lagi.

Terdahulu, pada Isnin Mahkamah Tinggi telah memutuskan untuk melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada semua 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah, dan pengubahan wang haram yang berkaitan dengan dana Yayasan Akalbudi. Antara alasan yang dibacakan ialah dakwaan dalam representasi Ahmad Zahid ada pendakwaan terpilih (selective prosecution) daripada rejim kerajaan sebelum ini. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.