Abdul Halim Seru Ahli UMNO Bersatu Padu, Kuatkan Semula Parti Keramat Melayu

JOHOR BAHRU, 7 Sept – Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Abdul Halim Suleiman mengajak ahli UMNO seluruh negara agar bersatu padu demi menguatkan semula parti keramat ini yang telah banyak berjasa kepada rakyat.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau menzahirkan rasa syukur dan sudah menjangkakan bahawa kes yang dihadapi oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merupakan pendakwaan terpilih.

“Selaku Ketua UMNO Bahagian Tebrau, saya menzahirkan rasa syukur kepada Allah SWT dan sememangnya sudah menjangkakan bahawa kes Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ini hanya untuk memalukan beliau sebagai Presiden UMNO.

“Tindakan Datuk Seri Ahmad Zahid yang tidak mahu membubarkan UMNO menyebabkan beliau dikenakan lebih 87 pertuduhan. Selepas 77 hari dibicarakan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi atas 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi,” katanya.

Jelasnya, meskipun ada sesetengah pihak beranggapan bahawa ada campur tangan ahli politik di dalam kes tersebut namun ianya tidak benar sama sekali.

“Alhamdulillah dengan izin Allah kebenaran terungkai juga, walaupun ada sesetengah pihak menafikan dan beranggapan kes Datuk Zahid ini hanyalah kerana penukaran Peguam Negara yang baharu, ia tidak benar sama sekali.

“Kes yang direka-reka ini memang sengaja untuk memalu dan menjatuhkan moral beliau. Namun kekentalan beliau yang tetap turun naik mahkamah bagi membuktikan kes yang dikenakan ini hanyalah untuk menjatuhkan beliau sebagai Presiden UMNO,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut berharap agar dengan pelepasan ini Ahmad Zahid dapat membersihkan nama dan membawa UMNO ke landasan lebih hebat serta bangkit kembali.

“Syukur, syukur kepada Allah kerana dengan pelepasan ini, dapat beliau dapat membersihkan nama, malah akan membawa UMNO ke landasan yang lebih hebat dan kembali bangkit setelah parti UMNO di serang dari depan, belakang, atas bawah serta dimana-mana tidak kira musuh, kawan, musuh dalam selimut termasuk pengkhianat bermuka-muka kerana mahukan UMNO ini menjadi khadam kepada PPBM dan Tun Mahathir.

“Ahli UMNO diseluruh negara haruslah bersatu padu dalam menguatkan parti ini. Tanpa UMNO habis sudah perjuangan Datuk Nenek serta Moyang kita demi Agama, Bangsa dan Negara,” katanya lagi.

Pada Isnin media melaporkan, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan untuk melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada semua 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah, dan pengubahan wang haram yang berkaitan dengan dana Yayasan Akalbudi.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar untuk melepaskan tanpa membebaskan Ahmad Zahid, apabila pihak pendakwaan memutuskan untuk berhenti, kerana mereka berhasrat menyiasat kes itu dengan lebih mendalam. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.