PRK: Jangan Sia-siakan Peluang Sabtu Ini, Tolak Manipulasi Isu Saat Akhir – Sharkar

KUALA LUMPUR, 6 Sept – Rakyat khususnya pengundi di kawasan Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram perlu menggunakan peluang yang ada pada Sabtu ini dalam usaha mengekalkan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada blok kerajaan.
Ahli Majlis Kerja Teringgi (MKT) UMNO Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata keputusan berkenaan amat penting demi kelangsungan kepentingan masyarakat di dua kawasan berkenaan dalam pelbagai aspek.
Menurut beliau peluang yang datang sekali lagi pada hari pengundian Sabtu ini tidak harus disia-siakan dengan memilih wakil rakyat daripada kalangan parti pembangkang.
“Bukankah kerajaan pusat diterajui kerajaan perpaduan yang dibentuk menerusi kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH), begitu juga di peringkat negeri dipimpin oleh Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
“Jadi apa manfaat dan apa kelebihan yang ada jika memilih pembangkang… seharusnya pertimbangan terbaik pada Sabtu ini adalah memilih wakil daripada kerajaan untuk kepentingan masyarakat setempat.
“Kedua… sudah pasti juga wakil rakyat sebelum ini membuat pelbagai perancangan dan ianya perlu diteruskan kesinambungan sebaik mungkin,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.
Dalam perkembangan sama beliau turut mengingatkan pengundi khususnya agar tidak
mudah terperangkap dengan pelbagai propaganda khususnya manipulasi pelbagai isu pada saat-saat akhir menjelang hari pengundian nanti.
“Kita tahu dan sedar perkata ini seringkali berlaku dan dijangka modus operandi sama akan dilakukan oleh pihak tertentu dalam usaha meraih undi.
“Justeru tetapkan pilihan… bulatkan tekad memilih calon daripada PH untuk Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram. Kita kekalkan kestabilan yang ada… kita bergerak ke depan bersama kerajaan yang stabil dan mampu membela nasib serta kepentingan rakyat,” ujarnya. – UMNO Online
@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.