Pilih Wakil Rakyat Yang Efektif, Selari Antara Kerajaan Negeri Dan Pusat – Khaled

BAKRI, 6 Sept – Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyeru pengundi di Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram memilih wakil rakyat yang selari dan ada hubungan antara kerajaan negeri dan pusat.

Ujar Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor itu, ini akan membolehkan wakil rakyat tersebut mampu memberikan khidmat yang efektif serta berkesan dalam menyelesaikan masalah masyarakat setempat sepanjang tempoh perkhidmatan.

“Kita perlu pilih wakil rakyat yang betul-betul berkesan. Terutamanya hari ini ia hanya Pilihan Raya Kecil (PRK) bukan Pilihan Raya Umum (PRU). Kita sudah mempunyai kerajaan di peringkat negeri dan pusat.

“Maka, sewajarnya untuk memastikan isu dan masalah rakyat dapat diwakili secara berkesan, pilihlah seorang wakil rakyat yang ada hubungan dengan kerajaan dan boleh mewakili kita dengan cara berkesan mengatasi semua isu misalnya melawat kawasan air bertakung (disebabkan) tiada parit, kemudian ramai ibu tunggal yang memerlukan bantuan kebajikan.

“Kalau kita hanya pilih wakil rakyat yang tidak ada hubungan dengan pihak kerajaan, maka pastinya ia tidak berkesan dan masalah rakyat akan berterusan dan ini bukan berterusan satu atau dua bulan tetapi berkesan bertahun-tahun selama empat tahun akan datang,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau ditemui sejurus melakukan ziarah kasih di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Jeram Tengah di sini baru-baru ini yang turut ditemani Ketua UMNO Bahagian Bakri Datuk Azman Ismail.

Tambah Menteri Pengajian Tinggi itu lagi, adalah satu kerugian bagi rakyat apabila memilih pembangkang bagi mewakili mereka.

“Satu kerugian dan buang masa (pilih pembangkang). Lari daripada hakikat demokrasi itu sendiri.

“Kita sebuah negara yang mengamalkan demokrasi di mana melalui demokrasi rakyat berhak untuk mewujudkan kerajaan melalui pilihan kepada wakil rakyat.

“Jadi, bila rakyat tidak pilih wakil rakyat yang tepat, ia sebenarnya rugikan perjalanan demokrasi itu sendiri,” kata Khaled yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi.

Untuk rekod, PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan susulan kekosongan luar jangka berikutan kematian penyandangnya Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lalu.

PH menampilkan bekas Speaker DUN Johor Suhaizan Kayat bagi Parlimen Pulai, manakala DUN Simpang Jeram pula, PH meletakkan Ir Nazri Abdul Rahman bekas jurutera Majlis Perbandaran Muar yang juga Timbalan Ketua Amanah Kawasan Bakri.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 9 Sept (Sabtu) bagi kedua-dua kawasan itu. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.